Fathil terpaku. Sedih. Perasaaan bercampur baur melihat
sahabat-sahabat seperjuangan Islam ketika di sekolah menengah, kini
semakin leka dengan nikmat kesenangan dunia. Tipu daya syaitan mengatasi
segala-galanya. Facebook, laman web sosial yang semakin popular,
digunakan sebagai medium untuk berhubung dengan kawan-kawannya semula.
Fathil sekarang sedang menunggu keputusan peperiksaan akhirnya. Dia
belajar di sebuah kolej persediaan untuk ke Australia.
Pilu melihat gambar-gambar sahabatnya di Facebook yang mana dahulunya
cukup terkenal sebagai akhi yang sering yang bermujahadah dan istiqamah
dalam dakwah, kini hanyut dengan arus cinta manusia.
Gambar-gambar
bersama teman wanita menghiasi 'profile pictures' sahabat-sahabatnya.
Tidak kurang juga bagi akhwat, yang dahulunya sangat dihormati kerana
menjaga batas pergaulan, tunduk apabila berbicara membuktikan kukuhnya
iman, kini alpa dengan arus pemodenan.
Hijab yang dahulunya menjadi duri bagi setiap kumbang yang ingin
hinggap pada mawar tersebut, kini sudah tiada lagi. Tudung singkat dan
baju ketat menjadi pilihan, menampakkan bentuk tubuh badan yang telah
diamanahkan Allah untuk dijaga sebaik mungkin daripada pandangan bukan
muhrim.
Bukan semua sahabatnya, hanya segelintir. Kalimah istighfar membasahi
bibir Fathil, kelopak mata yang sarat dengan takungan air, melimpah
jua.
"Ya Allah, berikanlah hidayah kepada sahabat-sahabat
seperjuanganku, janganlah Kau biarkan mereka hanyut dan jauh daripada
jalan-Mu yang lurus, sepertiku dulu...."
Fathil tidak mampu membuat apa-apa, kerana apabila dinasihat melalui
laman web sosial tersebut, mereka lebih pandai berhujah, malah cuba
membenarkan apa sahaja perlakuan mereka. Syaitan dan hawa nafsu
menguasai diri mereka. Mereka mempersendakan hukum Allah, tidak takut
akan balasan Allah.
"Kenapa mereka berubah sedemikian rupa, Ya Allah" monolognya sendirian.
Fathil mencapai dan membelek-membelek tafsir Al-Quran di hadapannya.
Cantik, biru warna kulitnya, dihadiahi seseorang yang pernah mengisi
kekosongan hidupnya, suatu ketika dahulu.
"Dan jauhkanlah diri dari
orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan,
dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan
peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di
akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa
yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada
baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah.
Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan,
(nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah
orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa
yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air
panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya,
disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)." (Al-An'aam 6:70)
*****
"Awak, saya harap awak dapat terima buku Hadith Pilihan ni, Insyaallah dapat membimbing kita bersama-sama," ungkap Fathil sambil menghulurkan sebuah buku berkulit tebal; himpunan hadith-hadith sahih, kepada Asiah.
Asiah juga menghulurkan sebuah tafsir Al-Quran kepada Fathil. Fathil
menyukainya memandangkan warna kulit buku tersebut berwarna biru, warna
kegemarannya. Pertemuan buat kali terakhir itu dirancang di hadapan
masjid berdekatan sebelum mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang
masing-masing. Asiah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di
Syria, manakala Fathil mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di
Australia. Sebelum itu, Fathil perlu membuat persediaan di sebuah kolej
di ibu kota selama setahun setengah di Malaysia.
*****
Fathil dan Asiah adalah antara tulang belakang dalam badan Agama
sekolah. Tetapi, sudah menjadi lumrah untuk manusia mempunyai perasaan
terhadap berlainan jantina. Mereka menyukai antara satu sama lain. Cinta
yang kononnya kerana Allah, iaitu tipu daya syaitan, menghalalkan
segalanya.
Pada suatu hari, Fathil meluahnya perasaannya, menggagahkan dirinya mengambil telefon bimbitnya dan menaip,
"Assalamualaikum. Asiah, sebenarnya saya berniat untuk menjadikan
awak sebagai kekasih hati saya, wanita yang menyinari hidup saya,
bersama-sama membantu saya dalam menegakkan dakwah Islam. Saya
memerlukan seseorang yang mendokong saya supaya saya dapat menggalas
tanggungjawab menjadi da'ie dengan sebaik mungkin, sepertimana mulianya
kasih sayang dan pengorbanan yang dilakukan Khadijah terhadap
Rasulullah. Saya cintakan awak, ikhlas kerana Allah, saya sebenarnya
berniat menjadikan awak sebagai isteri, tapi kekangan masa mengatasi
segalanya, kerana banyak tanggungjawab perlu digalas, saya berharap buat
masa ini, awak dapat menerima saya sebagai teman lelaki awak.
Insyaallah, jika kita bercinta kerana Allah, Allah akan sentiasa
membantu kita supaya kita tidak dikawal oleh hawa nafsu."
Panjang mesejnya, menanti dengan penuh debaran samada Asiah
menerimanya atau tidak. Dipendekkan cerita, responnya positif.
Bermulalah sebuah episod cinta yang kononnya berlandaskan Islam, atau
"couple in islamic". Indah, kerana mereka saling memperingati antara
satu sama lain, berkongsi ayat-ayat Al-Quran dan banyak lagi. Namun,
sebagai manusia dan hamba Allah yang lemah, mereka juga tidak lari
daripada zina, walaupun tidak sampai berpegangan tangan, melakukan
maksiat atau berdua-duaan di tempat sunyi.
Zina yang dimaksudkan ialah zina hati, kerana mereka saling merindui
antara satu sama lain. Sudah menjadi lumrah apabila pasangan akan
mengingati pasangannya yang lain. Mereka tewas dengan diri sendiri,
malah semakin jauh daripada mengingati Allah. Fathil yang dahulunya
menghiasi hari-hari dengan membaca Al-Quran dan berzikir mengingati
Allah, sudah berubah. Dia lebih banyak mengingati Asiah daripada Allah,
penciptanya. Begitu juga Asiah.
*****
"Assalamualaikum, awak tinggal di bilik AE-25 ke?" sapa seorang lelaki dari belakang, bertubuh agak tinggi dan tegap, suci mukanya.
"Ya," jawab Fathil, ringkas. Kini, dia berada di hadapan bilik AE-25, asrama tempat tinggal kolej persediaannya.
"Owh, jadi bilik kita sama," senyum lebar lelaki tersebut.
Umar namanya. Wataknya yang periang membuatkan Fathil berasa selesa
dengannya, malah mereka berdua mempunyai nawaitu yang sama, iaitu
menjadi syabab (pemuda) yang menjadikan Islam sebagai rutin hidup, yang
seimbang antara dunia dan akhirat, serta bersama-sama dalam jalan dakwah
berkongsi ilmu mengenai Islam terhadap pemuda-pemuda yang lain. Rutin
harian mereka mudah diikuti. Mereka bersolat jemaah pada setiap waktu di
surau, mengamalkan al-mathurat selepas subuh, membasahkan lidah dengan
berzikir dan berselawat, bersugi sebelum berwuduk, menunaikan solat
sunat dhuha, menunaikan solat tahajud di kala sahabat yang lain enak
tidur, usrah bersama rakan-rakan, mengamalkan surah Al-mulk sebelum
tidur, dan pelbagai lagi amalan yang dilakukan, semata-mata mencari
keredhaan Allah.
Mereka berdua menunjukkan teladan yang baik sebagai medium dakwah.
Alhamdulillah, mereka berdua menjadi sahabat karib yang mana mereka
bersahabat kerana Allah, bertemu dan berpisah jua kerana-Nya.
Sudah 4 bulan mereka belajar di situ. Umar menyedari perbuatan Fathil
sejak sekian lama, pada setiap pagi selepas subuh dan juga sebelum
tidur. Fathil pasti akan menggunakan telefon bimbitnya, bermesej sambil
senyum sendirian. Selama ini, Umar sentiasa husnul zon (bersangka baik).
Namun, pada hari ini dia bertekad untuk bertanya Fathil. Umar memulakan
perbualan sebelum tidur.
"Baiknya, nta selalu mesej ibu bapa nta."
"Eh, mana ada, ana tak mesej diorang pun, ana mesej kawan," jawab Fathil.
"Owh, kawan, lelaki ke perempuan?" soal Umar.
"Hmmmm," Fathil terhenti seketika. Dia dapat mengagak bahawa Umar mengesyaki sesuatu.
*****
"Tak, nta tak paham, ana bercinta kerana Allah, ana dah berjanji yang akan bernikah setelah abis belajar," jawab Fathil, sayu.
"Wahai akhiku, tiada perkara yang menghalalkan cara, walaupun
niat nta baik, tapi nta tersalah method. Sebagai contoh, seorang ustaz
ingin mengajarkan agama terhadap seseorang perempuan, tetapi mereka
berdua-duaan di hadapan khalayak. Walaupun niat ustaz tersebut baik,
tetapi methodnya salah. Maka akan timbulnya fitnah daripada orang yang
melihatnya. Bagi situasi nta plak, walaupun nta mempunyai niat yang
baik, untuk menjadikan dia sebagai isteri yang sah, method nta kurang
tepat. Nta tetap berpeluang untuk terjerumus dalam zina, iaitu zina
hati. Usah menipu diri sendiri dengan mengatakan yang nta tidak sesekali
rindu akan dia. Jika nta betul-betul sayangkan dia kerana Allah, nta
tidak akan membiarkan dia menghampiri zina, kerana sudah semestinya dia
juga akan merindui nta. Jika nta mencintai dia, kenapa nta hendak
kotorkan hati sucinya daripada lalai mengingati Allah, tetapi mengingati
nta? Jangan biarkan hawa nafsu menguasai kita, ana sayangkan nta
sebagai sahabat dunia akhirat, ana takkan biarkan nta hanyut dengan
cinta remaja, lagipun adakah nta dapat menjamin bahawa nta cintanya
kerana Allah, atau kerana hawa nafsu?" hujah Umar, panjang lebar.
Umar beristighfar supaya dirinya tidak dikuasai emosi, sebaliknya
bersikap profesional dalam menasihati sahabatnya itu.
"Tapi Umar, nta jangan salah faham, ana dengan dia saling
menasihati antara satu sama lain, saling mengingatkan, ana tak ada mesej
jiwang-jiwang dengan dia, Subhanallah. Malah, apa bezanya kalau ana
mesej dengan dia, atau mesej dengan kawan perempuan lain?"
"Beza akhiku, kerana nta mempunyai perasaan terhadap dia, dan si
dia juga mempunyai perasaan terhadap nta, iaitu kasih sayang dan cinta.
Berbeza dengan kawan perempuan, yang mana kita mesej apabila dirasakan
perlu dan nta tidak ada perasaan terhadapnya. Tetapi, kepada si dia, nta
sudah pasti rasa tidak keruan jika tidak mesej dengannya, walaupun
sehari, bukan? Sedarlah wahai sahabatku."
Fathil diam. Terpaku. Tidak mampu berkata apa-apa, hanya mampu
beristighfar, memikirkan kata-kata sahabatnya. Hari-hari malam yang
dilaluinya, begitu perit, kerana Umar sentiasa menasihatinya, istiqamah.
Umar tidak pernah berputus asa membimbing sahabatnya itu. Fathil
teringat akan firman Allah,
"Patutkah kamu menyuruh
manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri;
padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" (Al-Baqarah 2:44)
"Ya Allah, apa yang telah aku lakukan, aku menggalakkan
sahabat-sahabatku supaya bertaqwa kepada Allah, tetapi aku lupa akan
kejahilan diriku ini,"tersentuh hati Fathil.
Fathil juga semakin sedar. Dia semakin banyak menghabiskan masa membaca Al-Quran.
Method dakwah Umar memang berkesan. Alhamdulillah. Umar sentiasa
berdoa supaya sahabatnya sedar. Fathil sedar bahawa selama ini dia
bercinta didorongkan hawa nafsu, bukan kerana Allah. Jika dia bercinta
kerana Allah, dia tidak akan mengotorinya dengan hawa nafsu dengan
mendekati perempuan tersebut. Fathil bertaubat, memohon seribu kemaafan
daripada Allah. Suatu hari, dia bertekad, dan meminta pendapat Umar,
adakah dia patut minta putus dengan Asiah. Umar tenang, sambil berkata,
Boleh jadi kamu benci kepada
sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada
sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang
mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah 2:216)
Fathil bertekad, mengambil telefon bimbit di belakang bantalnya, dan menaip mesej,
"Assalamualaikum awak. Saya ingin mintak maaf, ikhlas dari lubuk
hati, mungkin keputusan saya ini akan membuatkan awak terkejut, dan
menangis. Tetapi percayalah, saya melakukan ini semata-mata kerana
Allah. Cinta kepada Allah sangatlah agung, tetapi sukar untuk kita
miliki. Selama ni, cara kita salah, tiada ungkapan cinta islamik dalam
cinta remaja, sebaliknya cinta yang sebenar ialah selepas akad nikah.
Walaupun kita selalu berhubung dan saling menasihati mengenai
benda-benda kebaikan, perkara ini tak menghalalkan cara. Saya tiada niat
untuk melukakan hati awak, sebaliknya jika awak benar-benar menyayangi
saya, kerana Allah, kita akhiri hubungan kita setakat ini sahaja.
Ingatlah, kita hanya merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik
perancang, jika kita benar-benar dijodohkan, Alhamdulillah, jika tidak,
terimalah ketentuan Allah, dengan redha dan ikhlas. Kita hidup
mengharapkan keredhaan-Nya. Saya harap kita akan dapat kekal sebagai
kawan sahaja setakat ini."
Mesej dihantar. Air mata Fathil mencurah-curah. Tidak tertahan
olehnya pengorbanan yang telah dilakukan. Umar berada di sisi, memberi
kata-kata semangat, "Luahkan segalanya wahai akhiku, ingat, nta
bermujahadah kerana Allah, Allah akan sentiasa bersama nta."
*****
Bunyi deringan lagu 'Menanti di barzakh', alarm telefon bimbit Umar
memecah kesunyian subuh. Mereka berdua terjaga, bersiap-siap. Fathil
mencapai telefon bimbitnya; ada 5 mesej dan 2 'miscall'. Tak
semena-mena, Fathil menangis. Umar dapat menjangkannya, dan hanya mampu
memberikan semangat kepada Fathil. Fathil menggagahkan dirinya untuk
bersolat subuh berjemaah di surau, mengikut Umar.
Seolah-olah sebahagian nyawanya hilang, dia menangis teresak-esak
sepanjang perjalanan ke surau. Namun, dia percaya, mujahadah dan
pengorbanan yang dilakukan ini, hanya akan dirasa sebentar sahaja
keperitannya, dia percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang, dan
setiap perkara pasti ada hikmahnya. Mungkin dia akan dipertemukan
dengan perempuan yang lebih baik, kerana jodoh sudah pasti di tangan
Allah.
Perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang
baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.
Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan
oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh
pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (An-Nuur 24:26)
******
Masa berlalu begitu pantas. Kenangan yang lama telah dilupakan. Hidup
mesti diteruskan. Alhamdulillah, Umar dan Fathil telah mendapat
keputusan yang cemerlang, melayakkan diri mereka untuk melanjutkan
pelajaran di Australia. Rezeki mereka juga baik kerana mereka mendapat
tempat di universiti yang sama di Australia.
"Umar, nta berhajatkan sesuatu," kata Fathil setelah mereka mengambil keputusan peperiksaan.
"Apa?" jawab Umar, penuh tanda tanya.
"Ana sedar yang dahulu ana hanya dipengaruhi oleh hawa nafsu,
sering lalai daripada mengingati Allah. Cinta ana dulu, bukan kerana
Allah, kerana ana sekarang sudah dapat mengawal perasaan ana terhadap
Asiah, malah ana bersyukur kerana ana sudah tidak mempunyai perasaan
terhadapnya. Kami lebih gembira sebagai kawan sekarang. Ana bersyukur
kerana ana masih lagi diberikan hidayah oleh Allah, untuk sedar akan
kesilapan ana yang lalu. Namun, sudah menjadi lumrah manusia, bahawa
lelaki akan tertarik kepada perempuan, tetapi ana tidak mahu mengulangi
kesilapan yang lalu. Ana memerlukan bimbinganmu, wahai akhi."
Umar tidak mengerti, kehairanan. Dia tidak dapat mengagak buah fikiran Fathil. Kemudian, Fathil menyambung lagi,
"Sebenarnya ana tertarik dengan keperibadian Khazinatul, nta
kenal kan Khazinatul? Ana terpegun dengan personalitinya, bak mawar
berduri. Dia sentiasa menjaga pandangan, hanya berbicara dengan bukan
muhrim apabila perlu, dan juga menjadi idaman bagi seorang lelaki
muslim. Tiada lelaki yang berani untuk mendekatinya, kerana peribadinya
yang sungguh tinggi. Tetapi, ana tewas, ana susah untuk melupakannya,
tambah-tambah setelah ana melakukan solat istiqarah. Alhamdulillah, ana
seperti mendapat petunjuk. Ana berharap keputusan ana betul, untuk
melamar Khazinatul. Ana tidak mahu lagi mengulangi perkara yang sama,
iaitu bercinta sebelum kahwin. Ana ingin merasa nikmat cinta, yang mana
mendapat keredhaan Allah, iaitu bercinta selepas mempunyai ikatan yang
sah. Tetapi, ana memerlukan nta, sentiasalah bimbing nta, dan doakan
yang terbaik untuk nta."
Umar terlopong, terkejut. Umar mengawal perasaannya, dengan tenang, dia berkata,
"Insyaallah, ana akan cuba sedaya upaya ana untuk membantu nta, tapi
pada pendapat ana, apa kata nta habiskan dahulu belajar, kemudian nanti
apabila sudah tamat belajar, ana bantu nta untuk mendekati Khazinatul,
dan melamar dia. Ok? Nta, kahwin ni bukan sesuatu yang mudah. Nta bukan
sahaja perlu bersedia dari segi zahir, malah juga batin. Bagaimana nta
ingin menyara isteri nta, jika nta masih belajar? Nasihatku, nta
habiskan dahulu belajar, dapatkan pekerjaan tetap, lengkapkan diri
dengan ilmu-ilmu Agama, selepas itu, baru nta benar2 bersedia, dan
lamarlah dia."
"Hmm, lambatnya nak kenal dia, bagaimana kalau dia terlebih
dahulu dilamar orang lain, terlepas nta nanti, siapa yang tak
menginginkan mawar berduri seperti Khazinatul," soal Fathil.
"Insyaallah, kalau jodoh, takkan ke mana, banyakkan berdoa kepada
Allah, Allah adalah sebaik-baik perancang, ingat, Allah menentukan yang
terbaik untuk kita. Amboih nta ni, sabarlah la skit, haha!"
Mereka berdua tertawa. Hanya menunggu masa dengan penuh kesabaran.
Tetapi, perjuangan mereka takkan terhenti setakat ini sahaja. Mereka
akan sentiasa istiqamah untuk berdakwah serta memperjuangkan Islam, di
bumi Australia. Islam bukan sekadar agama. Islam membimbing kita supaya
bertaqwa kepada Allah, dan menyedarkan kita bahawa Allah adalah pemilik
segalanya. Mereka akan meneruskan perjuangan, hingga ke generasi
seterusnya. Insyaallah, bersama mawar-mawar yang akan menyinarkan lagi
cahaya Islam.