Thursday, May 26, 2011

Bertaqwa Kepada Allah SWT

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bersifat taqwa, kaya jiwa serta tidak menonjolkan diri (merendah diri walaupun berpangkat tinggi)". (Riwayat Muslim)
Yang dimaksudkan dengan kaya di sini ialah kaya jiwa bukan kaya harta sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis. Tiga perkara yang apabila dilakukan oleh seseorang maka ia dikasihi oleh Allah S.W.T. ialah bertaqwa, kaya jiwa (berakhlak mulia) dan tidak menonjolkan diri.
Oleh itu setiap umat Islam hendaklah sentiasa memperbaiki dirinya dari masa ke semasa dengan menanamkan tiga sifat tersebut secara berperingkat-peringkat. Islam menyuruh umatnya supaya bertaqwa kepada Allah dan mempunyai sifat-sifat yang mulia dan berbudi bahasa, jangan bersifat sombong, ego dan sebagainya yang boleh menjatuh dan merendahkan mertabat kemuliaan manusia itu sendiri.

يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡأَنفَالِ‌ۖ قُلِ ٱلۡأَنفَالُ لِلَّهِ وَٱلرَّسُولِ‌ۖ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَأَصۡلِحُواْ ذَاتَ بَيۡنِڪُمۡ‌ۖ وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥۤ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
(Surah Al-Anfal 8: Ayat ke 1)
 

Ibu Bukan Insan Biasa!

Mudah lupa. Itu fitrah manusia. Kalau dahulu, tanpa ibu mendodoikan kita, susahnya mata hendak lena. Jika lama emak tidak masak, badan pun boleh jadi kurus sebab rindu dendam dengan masakan emak. Dan kalau boleh, hari-hari kita hendak beritahu – saya sayang emak!
Hari ini apabila tiba Hari Ibu, ada yang cepat-cepat telefon emak. Tidak kurang juga yang sudah awal-awal menyiapkan hadiah istimewa untuknya. Bagi si anak, itulah tanda penghargaan dan kasih buat insan bergelar ibu. Namun, kalau difikir-fikirkan, sudah cukupkah hadiah dan ingatan itu untuk membalas curahan kasih dan ambil beratnya selama ini?
Dan bagi segelintir orang pula, apalah sangat dengan sambutan Hari Ibu. Tidak ingat pun tiada salahnya. Ia cuma sekadar hari. Jika tidak ada orang yang membudayakannya, sudah tentu tidak wujud Hari Ibu.
Benar! Tapi itu bagi yang selalu meletakkan ibu di hati, acap kali telefon dan bertanya khabar, ambil berat tentang makan, minum serta sakitnya. Jadi, kalau dia tidak ambil pusing tentang Hari Ibu pun tidak mengapa sebab baginya setiap hari adalah 'hari ibu' untuk ibunya. Dan bagi yang yang jarang-jarang mengingati ibu, setidak-tidaknya sambutan Hari Ibu setiap tahun boleh berfungsi sebagai 'suis lampu' kepada ruang ingatan kasih dan pengorbanan ibu yang dibiarkan lama bergelap.
Lagi pun Rasulullah SAW sendiri pernah tiga kali menekankan akan keutamaan seorang anak terhadap ibu menerusi sepotong hadis. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya, "Wahai Rasulullah! Siapakah yang paling berhak saya pergauli dengan baik?" Jawab baginda: "Ibumu!" Tanya orang itu: "Sesudah itu siapa?" Jawab baginda, "Ibumu!" Tanyanya lagi: "Kemudian itu siapa lagi?" Jawab baginda: "Ibumu!" Tanyanya lagi: "Siapa lagi?" Jawab baginda: "Kemudian bapamu." (Sahih Bukhari)
Peringatan dari-Nya
Berdasarkan pesanan Rasulullah itu jelaslah sudah bahawa bagi seorang anak, ibu bukan orang biasa yang boleh dilupa, apalagi ditinggal-tinggalkan. Taraf ibu tinggi. Kerana itulah syurga seseorang khususnya anak lelaki dikatakan terletak di telapak kaki seorang ibu. Seandainya dia menderhakai ibu, mampukah dia menjejakkan kaki ke pintu syurga, apatah lagi untuk mencium haruman syurga Allah?
Daripada Anas Malik r.a. katanya: Rasulullah SAW pernah menyebut dosa-dosa besar, atau pernah ditanya orang tentang hal itu. Baginda berkata: "Mempersekutukan Allah, membunuh manusia, durhaka kepada dua orang tua." Setelah itu baginda berkata: "Akan saya beritahukah kepadamu dosa besar yang paling besar?" Baginda melanjutkan: "Perkataan bohong!" Atau beliau berkata: "Kesaksian yang dusta." (Sahih Bukhari).


glitter-graphics.com

Petua Mencuci Hati

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. Diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.
1. Dirikan solat dan banyakkan berdo'a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"
2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.
3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.
4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.
5. Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari.
6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri.katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)
7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati : "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – cubalah!!
8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.
9. Mengingati mati – Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa.
10. Kekalkan wuduk.
11. Bersedekah.
12. Belanja orang makan.
13. Jaga makanan – jangan makan makanan yang shubhah.(diragui halal dan haramnya.)
14. Berkawan dengan ulama'.
15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi.)
16. Pesan pada orang, jadi baik.
17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut dan lain-lain.)

Berubah Untuk Menggapai Redho Allah

Alhamdulillah atas nikmat-Mu ya Allah, kurniaan yang melimpah ini kadangkala membuatkan aku terlupa untuk mensyukuri nikmat-Mu.
Dalam kesibukan mengejar dunia ini, pernahkah kita terfikir untuk memperbaiki diri? Adakah cukup amalan kita?
Bagaimana dengan perhitungan di akhirat yang pasti terjadi? Bersediakah kita?
Mungkin kita biasa mendengar perkataan muhasabah, terutama apabila kita berada di akhir sesuatu program, kita diajak untuk bermuhasabah.
Namun, sejauh mana penghayatan kita terhadap maksud muhasabah tersebut? Muhasabah.
Berasal dari perkataan hisab, iaitu menghitung. Mengapa kita perlu menghitung amalan kita? Firman Allah dalam Surah Al-Hasyr (59:18):
18. Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan), bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.
Jelas daripada ayat ini kita memang dituntut untuk menghitung amalan kita.
Andai dalam kehidupan harian kita sibuk merancang dan menghitung budget dan merancang untuk pelbagai perkara, mengapa pula kita terlupa untuk menghitung bekal amalan di akhirat kelak?
Dalam ayat seterusnya (59:19) Allah memberi peringatan untuk kita tidak melupakan perintah-perintahNya.
19. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik (derhaka).
Perkaitan antara kedua-dua ayat ini menunjukkan bahawa kita menghitung diri adalah dengan mengikuti perintah Allah.
Islam sebagai agama petunjuk kepada penganutnya.
Ia bukan hanya teori tapi praktikal untuk setiap urusan manusia. Yang membezakan seorang muslim dan mukmin adalah pada amalannya. Sepertimana Allah menekankan dalam ayat seterusnya (59:20):
20. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat Segala Yang diingini).
Memang berbeza antara dua golongan ini. Ibarat langit dan bumi. Jurangnya sangat ketara antara penghuni syurga dan neraka. Salah satunya dalam rahmat dan satu lagi dalam kelaknatan.
Jadi timbanglah dengan neraca iman, ke mana lebihnya kita? Ke jalan redha atau kebencian Allah?
Jadi di sini saya ingin berkongsi beberapa cara untuk bermuhasabah, semoga dapat memberi manfaat.
01.Mengingati mati. Ini cara terbaik untuk bermuhasabah. Mengingatkan diri tentang kematian yang pasti terjadi membantu kita mengkoreksi diri. Secara tidak langsung menjadi pendorong untuk kita menambah amal kebaikan.
02.Mengingati kelemahan diri. Dengan kita menilai kelemahan diri kita secara tidak langsung membantu dalam memperbaiki kelemahan diri. Cara lain ialah dengan menukar kelemahan itu menjadi kekuatan. Sebagai contoh kita cuba kurangkan sifat suka berkata perkara-perkara lagha dengan berzikir, mungkin nampak jauh sangat perbezaannya, namun andai cuba diamalkan, InsyaAllah akan jadi kekuatan akhirnya.
03.Tidak membesarkan kekurangan orang lain. Janganlah dibesar-besarkan kekurangan orang lain kerana hakikatnya Allah menutup-nutup kekurangan kita. Andai kita menutup kelemahan orang lain, Allah akan melindungkan kelemahan kita.
04.Menjadikan kebaikan orang sebagai kayu ukur untuk kita. Dalam hal amalan kebaikan, amatlah wajar untuk kita meniru orang lain. Jadikan ia sebagai penanda aras untuk kita dan letakkan sasaran untuk menjadi yang lebih baik dari orang lain.
05.Menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan utama. Sangat jelas bahawa Nabi junjungan mulia contoh terbaik buat kita. Mulakan dengan mengamalkan perkara-perkara yang menjadi sunnah baginda.
06.Berdoa sebanyak-banyaknya agar Allah mudahkan kita untuk berubah dan memperbaiki diri. Allah yang memegang hati kita dan Dia jugalah mampu membuka hati kita untuk suka kepada kebaikan dan membenci kejahatan. Hidayah itu milik-Nya jua.
Sahabat-sahabatku, marilah kita sama-sama bergerak dan bertindak ke arah perubahan yang InsyaAllah mengundang redha Allah, biiznillah.
Doakan moga kita berjaya bermujahadah ke arah kebaikan dan kekal istiqamah dalam beramal..ameen. Wallahualam...

Carilah Hatimu!

Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.
Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya... kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.
Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:
"Carilah hatimu di tiga tempat... Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"
Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu... Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendengaranmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.
Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera Al Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al Quran umpama talipon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna... Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al Quran segalanya tidak berguna.
Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibokan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senentiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah Al Quran. Mereka yang begini sahaja mampu 'menukar' bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.

Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibokan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.
Ingatlah wahai orang yang bermujadahah... tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan...Genggam al Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!

Lelaki-Lelaki Subuh

Waktu subuh? Solat subuh? Dan kemudiannya lelaki-lelaki subuh?
Apakah itu? Siapakah pula mereka-mereka itu? Macam pelik je bunyinya?
Saya jamin, jika tidak banyak, pasti rakan-rakan sekalian punyai sedikit kemusykilan..
Sebenarnya, persoalan di atas berkait rapat dengan solat subuh. Spesifiknya lagi, persoalan di atas boleh dirumuskan begini;
Adakah anda bersolat subuh secara berjemaah di masjid atau di surau?
Jika ya, syabas diucapkan. Jika tidak, ayuh kita sematkan azam bulatkan tekad untuk lebih beristiqamah solat subuh secara berjemaah di masjid selepas ini. Boleh bukan?.
Soalan kedua pula, kesinambungan dari soalan pertama..
Selepas solat subuh.. apa yang anda lakukan? Membaca Al Quran? Bagus jika ya.. selepas itu? Oppss, alamak.. saya tertidur.
Insya-Allah, hadirnya saya menulis disini adalah untuk bercerita serba ringkas apa yang saya dapat dari program motivasi sebentar tadi di Melaka. Rugi rasanya jika saya tidak berkongsi dengan kalian semua, kerana banyak input menarik yang boleh dirungkai dan dikupas bersama.
Walaupun pada mulanya program ini hanyalah untuk para peserta, tetapi saya dan fasilitator lain turut terpaku mendengar satu demi satu fakta yang dikupas secara teliti dan 'mempersonakan' menarik saya dan yang lain untuk sama-sama mendengar ceramah yang disampaikan. Terima kasih Dr. Ariff.
Rakan-rakan sekalian..
Ada kalanya kita rasa suram, rasa sedih, rasa murung. Bak kata remaja-remaja sekarang, bangun-bangun pagi saja dah emo. Seperti ada sahaja yang tidak kena. Dimanakah silapnya?
Silapnya adalah kerana anda tidur selepas solat subuh. Aduh, memang tepat mengena di pelusuk kiri jantung ini.
Penceramah dengan penuh hemat menceritakan bahawa tidur selepas waktu subuh adalah sangat tidak baik untuk emosi dan kesihatan.
Kenapa? Kerana anda akan disihir jin.
[rujuk surah Al - Falaq]
"Katakanlah, "Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh (fajar)"
"Dari kejahatan (makhluk yang dia ciptakan)"
"Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita"
"Dan dari kejahatan (perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada
buhul-buhul (talinya)."
"Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dengki."
Jadi, mulai saat dan detik ini, mari kita sematkan azam untuk berubah. Insya-Allah!
Selain itu, saya pasti ramai yang mengetahui bahawa waktu subuh bukan sahaja waktu yang penuh dengan rezeki, tetapi juga penuh dengan Ilham. Jika anda tidak percaya, cubalah anda belajar atau mencari idea-idea pada waktu subuh.. pasti idea dan solusi-solusi bernas akan timbul. Begitu juga satu jam belajar pada waktu subuh lebih berharga dari 4 jam belajar pada waktu-waktu lain. Namun harus diingat, niat itu yang terutama.
Menyebut pada soal niat pula.. "Setiap perbuatan itu bermula daripada niat" sedarkah bahawa setiap gerak dan kerja menuju kejayaan itu adalah bermula daripada niat. Bagaimana?
Kita gambarkan melalui satu analogi..
Pelajar yang berniat menjadi seorang Doktor yang berjaya di dunia dan di akhirat pasti akan memandang buku anatomy sebagai satu kesukaan dan ibadah, berbeza pula dengan pelajar yang mengambil bidang kedoktoran ini secara suka-suka, ikut-ikutan dan kerana inginkan pangkat dan harta kekayaan.. mereka tidak akan lihat belajar itu sebagai satu ibadah dan perkara yang menyeronokkan. Hasilnya, mereka akan mudah stress dan jemu.. pernahkan anda berasa sedemikian? jika ya.. ayuh kita perbetulkan niat!
Pesan ayah..
"Ayah tengok budak-budak muda sekarang yang masuk dakwah ni bukan tak bagus, diorang ni bagus.. tapi tengoklah macam mana diorang kerja. Time mengajar baca paper, datang sekolah lambat.. akhlak macam inikah contoh seorang pendakwah?"
Tersentak saya seketika, lalu saya menyoal kembali kepada diri.. di manakah silapnya.. saya tidak mahu soal ini menjadi fitnah bagi dakwah...
Kembali berbalik kepada persoalan di atas, Alhamdulillah, ketika itu saya sedang membaca buku terbaru karya Ustz Pahrol Mohamad Juoi, 'Dilema Melayu- islam, kurang fikir atau kurang zikir'. Didalam bab 21 iaitu 'Salah faham tentang islam', beliau banyak mengulas sikap sesetengah golongan melayu-islam yang bukan sahaja salah tafsir tentang islam tetapi menyempitkan sudut pandangan mereka tentang islam.
"Mereka cenderung melihat Islam pada aspek rohaniah semata-mata dengan membelakangkan aspek material, ataupun hanya melihat aspek material dengan meminggirkan soal rohaniah" - Ustaz Pahrol Mohamad Juoi.
Adakah mereka lupa bahawa dunia ini adalah ladang bagi tanaman akhirat?
Kekeliruan seperti inilah yang harus kita bendung. Ini adalah kerana akibat kelemahan sistem penyampaian islam oleh para pendakwah mereka sebenarnya secara tidak sedar bahawa akhlak dan sikap mereka juga  menimbulkan fitnah bagi dakwah Islamiah itu sendiri.
Dr Yusuf Al Qadrawi pernah memetik kata-kata seorang sarjana barat yang terbuka hatinya untuk memeluk islam "Subhanallah yang mengenalkan aku islam sebelum aku mengenal orang islam" Ertinya, mungkin jika sarjana tersebut mengenal umat Islam terlebih dahulu hatinya akan tawar memeluk islam!
Maka ayuh, kita jadikan ia sebagai motivasi agar kita boleh menjadi seorang pelajar dan pendakwah yang baik. Hiasilah jiwa kita dengan akhlak dan sifat-sifat seorang pelajar yang cemerlang. Bukan kecemerlangan duniawi sahaja yang ingin dicari tetapi kecemerlangan akhirat juga harus ditampilkan dengan Qudwah Hasanah yang mungkin boleh mencairkan hati insan-insan yang ingin kita dakwahkan itu.
Pesan Imam Hassan Al Banna
Bagi para dai dan murobbi, mari kita tunaikan sepuluh wasiat ini. Ia adalah resipi mujarab buat pengubat umat. Kaedah yang teruji sepanjang perjalanan waktu hingga kini. Mari kita prioritaskan dan amalkan.
1. Bangunlah segera untuk melaksanakan shalat apabila mendengar adzan walau bagaimanapun keadaanmu.
2. Baca, telaah dan dengarkanlah al- Qur'an, berzikirlah kepada Allah dan janganlah engkau senang menghambur-hamburkan waktumu dalam masalah yang tiada faedahnya.
3. Bersungguh-sungguh untuk boleh berbicara dalam bahasa arab yang fasih.
(InsyaAllah, mahirkan bahasa melayu dahulu kerana medium dakwah kita yang paling utama di Malaysia ialah umat islam melayu. Tetapi harus diingat, bahasa arab juga penting kerana ia adalah bahasa Al Quran)
4. Jangan memperbanyak debat dalam percakapan kerana itu tidak akan mendatangkan kebaikan.
5. Jangan banyak tertawa kerna hati yang selalu berkomunikasi (berzikir) dengan Allah sifatnya aman dan tenteram.
6. Jangan suka bergurau kerana umat yang berjihad akan senantiasa berusaha bersungguh-sungguh.
7. Jangan mengeraskan suara di atas suara yang diperlukan pendengar, kerana hal itu akan menganggu dan meyakiti.
8. Jauhilah ghibah (mengumpat) atau menyakiti hati orang lain dalam bentuk apa pun dan janganlah berbicara kecuali yang baik.
9. Berkenalanlah dengan setiap saudara yang saudara temui kerana asas dakwah kita adalah saling kenal-mengenal dan berkasih sayang.
10. Pekerjaan utama kita adalah tertumpu pada waktu yang tersedia, maka tolonglah saudaramu untuk memanfaatkan waktunya, dan apabila kalian punyai keperluan maka sederhanakanlah dan cepatlah diselesaikan.

Tudung

Takut melihat perkembangan umat Islam sekarang..
Dalam Islam, kaum hawa diwajibkan bertudung dan menutup aurat..
Tetapi persepsi umat Islam sekarang hanyalah..
'Alah, kan aku dah pakai tudung, tutup aurat lah tu..'
ATAUPUN...
'Cantik jugak ye aku pakai tudung..'
Ataupun bertudung hanya di sekolah.. di luar rumah??
Wallahua'lam..
Kadang-kadang kesalahan itu diletakkan pada bahu ibu bapa yang terlampau sibuk dengan urusan duniawi..
Apakah kita sebagai anak hanya membiarkan ibu bapa terus leka dalam urusan mereka??
Cuba fikir kalau kita berubah dulu.. ibu bapa kita akan menyedari kesalahan mereka dan mungkin akan berubah..
Ini tidak, kalau anak tidak tutup aurat, salah siapa?? jawapannya ibu bapa..
Wajarkah??
Bertudung tidak semestinya menutup aurat..
Apa guna memakai tudung tetapi baju dan seluar ketat??
Kenapa pakai tudung kalau terdedah aurat??
Apa guna pakai tudung kalau tudung hanya sepanjang sedepa??
Kenapa pakai tudung tetapi tidak memenuhi syariat ALLAH??
ALLAHUAKBAR!! MASYAALLAH!!
Pernah tak kita fikir??
Apa perasaan RASULULLAH S.A.W kalau tengok keadaan umatnya sekarang??
Sedangkan sebelum Baginda wafat Baginda ingat pada kita..
Ummati,Ummati..
ALLAHUAKBAR!!MASYALLAH!!
YA ALLAH, bukakanlah pintu hati mereka..
Kurniakanlah hidayah kepada mereka..
Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia..
Alhamdulillah Ya Allah, tetapkanlah hati kami agar kami sentiasa berada di jalan-Mu yang benar..
Kuatkanlah Iman kami, YA ALLAH..
Amin Ya Robbal A'lamin..

Buat Golongan Yang Meninggalkan Solat

Sekiranya kalian haus semasa hayat kalian, kalian boleh meminum rezeki Allah yang enak-enak. Sirap bandung, kopi, sirap... Semuanya kalian boleh teguk untuk menghilangkan dahaga. Tetapi, air manakah yang bisa menjadi asbab untuk menghilangkan dahagamu ketika kalian menghadapi sakaratul maut?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Sungguh cergas kalian berlari ke sini-sana mengejar bola di tengah dan tepi padang. Berapa gelen peluh yang kalian keluarkan untuk tujuan itu? Tidak malukah kalian, kalian mampu berlari ke sini-sana, tetapi tidak mampu untuk menunaikan kewajipan solat yang tidak perlu mengeluarkan bergelen-gelen peluh?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Kalian berasa lapar sekiranya tidak bersarapan, tidak menjamah makanan tengah hari, dan tidak menjamah santapan malam. Tetapi, tidakkah kalian pelik, jiwa kalian kosong daripada santapan rohani, tetapi kalian tidak sedikitpun berasa lapar?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Sedarlah, golongan yang mendirikan solat 5 waktu ditambah dengan amalan-amalan sunat pun tidak dijamin syurga, inikan pula kalian yang meninggalkan kewajipan yang merupakan dosa besar! Tidakkah kalian tahu, tiada pilihan ketiga selepas syurga dan neraka?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Kalian sanggup berjam-jam menghadap facebook, blog, dan youtube, tapi kalian tidak sanggup untuk meluangkan hanya sedikit masa untuk berdamping dengan Pencipta kalian. Tidakkah kalian berasa malu?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Setiap saat Allah SWT mengurniakan nikmat yang tidak terhitung, tidak malukah kita sewenang-wenangnya mengkhianati Pemberi nikmat itu? Adakah terlalu payah untuk memanjatkan kesyukuran dengan bersolat?
Wahai Golongan yang Meninggalkan Solat!
Ingatlah, Nabi Muhammad SeAW bersyukur dengan menunaikan solat sehingga kakinya pecah-pecah. Itu Nabi SAW yang telah dijanjikan syurga dan sangat dekat dengan Allah! Bagaimana dengan kita yang rendah dan hina ini? Masih mahu meninggalkan solat?
Jika mata batinmu tidak mampu menangkap dan mencermati secara adil terhadap kemuliaan dan kesempurnaan Allah Maha Pencipta dan tidak mampu mencintai-Nya dengan kecintaan yang hebat, maka janganlah kamu tidak mencintai pemberi nikmat yang berbuat baik kepadamu. Jangan sekali-kali lebih rendah daripada seekor anjing, sebab anjing itu mencintai tuannya yang selalu berbuat baik kepadanya. [Imam al-Ghazali]

Muhasabah Cinta

"Cinta". Perkataan yang biasa kita dengar dan ungkapkan.
Setiap manusia yang berpeluang hidup di muka bumi ini pasti mengalami perasaan cinta.  Manusia memang dilahirkan secara fitrahnya mempunyai perasaan cinta.
Seorang ibu sanggup berkorban nyawa untuk anaknya kerana cintanya kepada anak.
Seorang bapa sanggup berkorban harta dan tenaga kerana perasaan cintanya kepada keluarga.
Seorang penuntut sanggup mengharungi susah dan payah kerana cintanya kepada ilmu.
Seorang perwira sanggup berkorban jiwa kerana cintanya kepada tanahair.
Seorang hartawan sanggup berkorban masa dan maruah kerana cintanya kepada harta.
.. dan seorang pencinta kononnya sanggup merentasi lautan berapi lantaran cintanya kepada kekasihnya.
Secara dasarnya, kita sanggup berbuat apa sahaja kerana ingin menjaga dan mengejar cinta.
Itulah cinta.  Ia fitrah.  Dan ia juga boleh menjadi fitnah.
Ia boleh menjadikan seseorang mulia atau hina.  Ia bisa merubah manusia menjadi lebih baik di sisi Tuhan dan manusia, dan ia  juga bisa menjatuhkan nilai seseorang dari sudut pandangan Tuhan dan manusia.
Sudah lama kita menjalani kehidupan ini, dan sudah banyak kali perkataan 'cinta' kita ungkapkan dan luahkan.
Di kesempatan yang terbatas ini, marilah kita bermuhasabah.  Muhasabah tentang cinta.  Mudah-mudahan muhasabah ini bisa menyedarkan kita semua akan di mana letak duduknya rasa cinta kita?  Di tempat yang sepatutnyakah?  Atau sudah tersasarkah cinta kita selama ini?
01.Orang yang beriman sangat cinta kepada ALLAH
"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah..." - [Al-Baqarah: 165]
02.Amaran Kepada Yang Meletakkan Cinta Kepada Mahkluq Melebihi Cinta Kepada ALLAH
Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." "Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." - [At-Taubah: 24]
Cukuplah dengan dua ayat al-Quran di atas bagi kita mula bermuhasabah.
Jika selama ini kita telah meletakkan cinta dan perhatian kepada makhluq, nah mulai hari ini marilah kita letakkan semula rasa cinta dan kasih itu di tempat yang sepatutnya.
Menyedari bahawa meletakkan cinta kepada ALLAH mengatasi segala-galanya, kita mesti membuktikan rasa cinta itu.
Tidak cukup dengan hanya kalimah "aku cintakan ALLAH" atau "ALLAH adalah segala-galanya buatku" atau seumpama dengannya.  Ia mesti dibuktikan!
ALLAH subhanahu wata'ala telah berfirman di dalam al-Quran tentang pembuktian cinta kepada ALLAH adalah dengan mengikuti segala suruhan dan perintah yang telah disampaikan oleh Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam:
Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." "Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." - [Ali-Imran: 31]
Justeru, bagi merealisasikan rasa cinta kepada ALLAH, kita juga mesti meletakkan rasa patuh dan cinta kepada Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam. Al-hubb (cinta) dan al-ittiba' (ikut) Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam adalah suatu yang dituntut agama.
Muslimin-muslimat sekalian,
Sudah banyak rasa kecewa menyinggahi jiwa kita.  Sudah tidak terkira kita rasa sedih apabila orang yang kita cintai membuat sesuatu yang tidak kita sukai.  Sudah acap kali kita didatangi keresahan apabila harta yang kita cintai hilang atau berubah hakmilik.  Ya, cinta kepada makhluq pasti mengundang kekecewaan.
Sekiranya cinta dan kasih diletakkan kepada ALLAH melebihi rasa cinta kita kepada makhluqNYA, nescaya kita tidak akan didatangi kecewa.  Sedih yang melanda akan segera terubat apabila cinta kepada ALLAH menguasai jiwa.  Malah, jiwa akan hidup dalam ketenangan dan kemanisan iman akan mula menyerap ke dalam jiwa.
Hadis riwayat Anas radhiAllahu 'anhu, dia berkata bahawa Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Ada tiga hal yang barang siapa mengamalkannya, maka ia dapat menemukan manisnya iman, yaitu orang yang lebih mencintai Allah dan Rasul-Nya daripada yang lain, mencintai orang lain hanya karena Allah, tidak suka kembali ke dalam kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka." - [Shahih Muslim No.60]
Semoga tulisan yang ringkas ini bisa mencetus rasa ingin memperbaiki rasa cinta kepadaNYA.  Mudah-mudahan kita semua tergolong di dalam kumpulan manusia yang meletakkan dambaan cinta dan redha ALLAH sebagai yang terutama, amin.

Kasih Sayang Ayah

Lakaran garisan diwajahnya yang timbul setiap kali melonjak kepada usia baru sudah cukup memberi erti kepada kegigihan malah kesungguhannya untuk mendidik anak sendiri.
Tiada yang diimpikan,melainkan melihat anak sendiri berjaya dalam semua prospek mahupun duniawi ataupun akhirat. Kehilangannya,kerukunan institusi keluarga itu mungkin akan sedikit longgar.
Dialah ketua, dialah idola, dialah segala-galanya. Dialah bapa. Bapa yang merupakan peneraju bagi anak-anak mahupun isteri untuk berlindung.
Dia tidak meminta untuk dibalas akan jasanya, dia cuma mahu anak-anaknya menjadi insan yang berguna, yang dapat membanggakannya,yang dapat mengirimkan bacaan doa kepadanya apabila dia tiada nanti, yang sentiasa melakukan kebaikan untuk nusa dan bangsa. Adakah kita seperti yang dia inginkan?
Renungkan sejenak, mengambil semula nostalgia lama, menghirup semula memori dahulu, adakah kita pernah melukakan hati dia? Sering ingkar akan arahannya? Adakah kita tidak berfikir, kesukarannya dulu menjaga kita diwaktu kecil, bersengkang mata bagi memastikan kita nyenyak, mengikat perut demi memastikan kita tidak kelaparan, malah memberikan keselesaan kepada kita dengan memberikan segala-galanya yang kita inginkan. Segantang emas belum tentu dapat menebus semula pengorbanan yang telah dia lakukan. Teramat besar pengorbanannya.
Tiada bapa yang mahu melihat anaknya ketagihan dadah, yang mahu anaknya menjadi penipu, yang mahu anaknya menjadi pengemis. Dia cuma mahu anaknya menjadi seorang yang berguna, yang dapat menimbulkan gelora bangga dan kesyukuran kerana pengorbanannya mendidik kita tidak sia-sia.
Mari kita tepuk dada sejenak, bertanya kepada diri sendiri, apakah usaha yang telah kita lakukan untuk menjadi anak yang dapat membanggakan dia? Adakah kita pernah berusaha sedemikian rupa? Atau kita sekadar berusaha untuk kekasih hati kita yang bila-bila masa akan meninggalkan kita? Fikirkan!
Rata-rata timbul disetiap pelusuk dada-dada akhbar,memaparkan kesalahan sosial golongan kita pada masa kini yang setiap saat ada sahaja timbul isu yang baru.
Isu pembuangan bayi masih belum-belum lagi berhenti, masalah dadah, mencuri, bahkan membunuh ibu bapa sendiri. Inikah diri kita yang boleh dikatakan dapat membanggakannya? Berlinang air matanya apabila melihat anak sendiri terlibat dalam masalah sosial, bergolok gadai mengupah peguam dirinya demi memastikan anak sendiri bebas dari penjara, tetapi setelah bebas, kesalahan yang sama masih dilakukan.
Bagaimana kita hendak membalas jasanya,sedangkan diri sendiri masih di awangan? Permasalahan sosial ini bukan berpunca dari kita semua, tetapi hampir semua, yang dari setiap detik semakin membarah dari hari ke hari.
"Ya Allah jadikan kami ini tergolong dalam anak yang sering mengingati jasa ibu bapa kami,yang sering patuh kepada mereka selagi mereka tidak menyuruh kami melanggar perintah-Mu."

Di Mana Dia Di Hatimu?

Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.
Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisiALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.
Ketika kamu tiada jawatan?
Satu ketika yang lain, Saidina Khalid Al-Walid diturunkan pangkatnya daripada seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh Khalifah Umar. Keesokannya, Saidina Khalid tetap ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas sedikit pun perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat.
Ketika ditanya mengapa, Saidina Khalid menjawab, "Aku berjuang bukan kerana Umar." Ya, Saidina Khalid berjuang kerana ALLAH. Ada DIA di hatinya.
Lalu, di mana Dia dihati kita?
Melihat anekdot-anekdot itu, aku terkesima lalu bertanya kepada diri, di manakah DIA dalam hatiku?
Apakah ALLAH sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk serta membujuk hatiku yang rawan?
ALLAH ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta ALLAH bersemi. Jika cinta ALLAH yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya, cinta selain-NYA yang ada di situ, maka cinta ALLAH akan terpinggir. Ketika itu, tiada DIA di hatiku!
Sering diri ini berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidupku, kata mereka (dan aku amat yakin dengan kata itu);
"Bila ALLAH ada di hatimu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki."
Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah ALLAH menjadi tumpuan dalam hidupku?
Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-NYA?
Bila bertembung antara kehendak-NYA dengan kehendakku, kehendak siapa yang aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerana-NYA? Tegakah aku membenci juga kerana-NYA?
Muhasabah ini melebar lagi. Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam-MU?
Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai-MU, ya ALLAH.
Dan aku juga tidak dapat mendustai diri sendiri
Aku teringat bagaimana suatu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, "Apakah engkau takutkan ALLAH?"
Dia menangis dan menjawab, "Aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikapku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan ALLAH bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat ALLAH tapi aku tidak..."
Maksudnya, jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan ALLAH pun sukar bila ditanyakan apakah ada DIA di hatinya, lebih-lebih lagilah aku yang hina dan berdosa ini.
Di hatiku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta ALLAH dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, "Adakah DIA di hatimu?"
Aku hanya mampu menjawab, "Aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hatiku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-NYA tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-NYA."
Justeru, kerana belum ada DIA di hatiku, hidupku belum bahagia, belum tenang, dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari. Aku yakin ALLAH itu dekat, pintu keampunan-NYA lebih luas daripada pintu kemurkaan-NYA.
Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Dan akhirnya... aku yakin... suatu saat nanti, akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua.
Dan kita akan terus mengemis kasih...

Pelangi Selepas Hujan

Seringkali hati kecil mengadu sakit, seringkali jiwa meratap hiba. Dugaan dan ujian yang bertimpa-timpa, kadangkala menewaskan semangat yang ada.
Kadangkala kita berasa sendirian dan terasa betapa kita dipinggirkan. Ketika kita menyangka sudah tidak ada lagi yang bernilai dalam kehidupan dan yang kita lihat hanyalah jalan suram di hadapan.
Lantas kita marah kepada Tuhan, kita kecewa dengan ketentuan yang diciptakan. Kita menyalahkan takdir hitam dan saat itu sendu airmata mengaburkan kewarasan.
Lalu kita hilang pertimbangan, di antara keimanan dan rasukan syaitan. Kita hanya nampak jalan mudah untuk melepaskan diri, lalu ada yang seringkali memilih kematian sebagai penyelesaian.
Pernahkah sekali kita memahami alam?
Mengapa Tuhan hadirkan pelangi selepas hujan?
Mengapa Tuhan tumbuhkan bunga selepas kering-kontang? 
Hanya daripada benih hitam yang kusam, apabila disirami hujan lantas berbunga cantik. Maka tersenyumlah alam. Betapa indahnya aturan Tuhan.
Mengapa tidak ada hujan berpanjangan atau sinar mentari yang menyinari alam?
Mengapa harus ada putaran alam seperti hitam malam dihiasi bintang?
Mengapa untuk tidak ada sekaligus dalam satu masa?
Mengapa harus hilang sesuatu untuk sesuatu?
Jawabnya senang.
Kerana tidak ada kemanisan tanpa ada kepahitan, dugaan dan rintangan. Mengecapi kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Setiap kesenangan akan ada bayaran. Contohnya Tuhan hadirkan pelangi yang indah dan kicau burung yang menyanyikan kedamaian selepas hujan. 
Biar hujan di dalam hati, pasti ada pelangi yang menanti. InsyaAllah.