Daripada Ibnu Mas'ud r.a., bahawasanya dia
berkata: "Ketika ajal Rasulullah saw sudah dekat, baginda mengumpul kami
di rumah Siti Aishah r.a
Kemudian baginda memandang kami
sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda: Marhaban bikum, semoga
Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong
dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar
bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi
peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah."
"Allah berfirman: Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat kami jadikan
untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat
kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang
bertakwa."
Kemudian kami bertanya: "Bilakah ajal baginda ya Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadrat
Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila."
Kami bertanya lagi: "Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah?"
Rasulullah menjawab: "Salah seorang ahli bait."
Kami bertanya: "Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah."
Kami bertanya: "Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?" Kami menangis dan Rasulullah saw pun turut menangis.
Kemudian baginda bersabda: "Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu
semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka
letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang
kuburku. Kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang
pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian
Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut)
beserta bala tenteranya.
Kemudian masuklah anda dengan
sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari
pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu
semua."
SEMAKIN TENAT
Semenjak hari itu, Rasulullah
saw bertambah sakitnya yang ditanggungnya selama 18 hari. Setiap hari,
ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, disaat
baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sehari menjelang baginda
wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius.
Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya,
dia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam:
"Assalamualaikum ya Rasulullah?"
Kemudian dia berkata lagi: "Assolah yarhamukallah."
Fatimah menjawab: "Rasulullah dalam keadaan sakit."
Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid. Ketika bumi terang disinari
matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu dia
berkata seperti perkataan yang tadi.
Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh dia masuk. Setelah Bilal bin Rabah masuk,
Rasulullah saw bersabda: "Saya sekarang berada dalam keadaan sakit.
Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam
solat."
Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas
kepalanya sambil berkata: "Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak
dilahirkan ibuku?" Kemudian dia memasuki masjid dan memberitahu Abu
Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut. Ketika Abu Bakar
r.a. melihat ke tempat Rasulullah SAW yang kosong, sebagai seorang
lelaki yang lemah lembut, dia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu
dia menjerit dan akhirnya dia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam
masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah saw.
Baginda bertanya: "Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu?"
Siti Fatimah menjawab: "Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah saw tidak ada bersama mereka."
Kemudian Rasulullah saw memanggil Ali bin Abi Talib dan Abbas r.a.
Sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke
masjid. Baginda solat dua rakaat.
Setelah itu baginda melihat
kepada orang ramai dan bersabda: "Ya ma aasyiral Muslimin, kamu semua
berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia
adalah penggantiku atas kamu semua, setelah aku tiada. Aku berwasiat
kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT kerana aku akan
meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku
memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia
ini."
MALAIKAT MAUT DATANG BERTAMU
Pada hari esoknya
iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya dia
turun menemui Rasulullah saw dengan berpakaian sebaik-baiknya. Dan Allah
menyuruh Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah saw dengan lemah
lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka dia dibolehkan
masuk. Tetapi jika Rasulullah saw tidak mengizinkannya, dia tidak boleh
masuk dan hendaklah dia kembali sahaja.
Maka turunlah Malaikat
Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Dia menyamar sebagai seorang
biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah saw,
Malaikat Maut itupun berkata: "Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!"
Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu: "Wahai
Abdullah (hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit."
Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi: "Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?"
Akhirnya Rasulullah saw mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda
bertanya kepada puterinya Fatimah: "Siapakah yang ada di muka pintu
itu?"
Fatimah menjawab: "Seorang lelaki memanggil baginda. Saya
katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian dia
memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma."
Rasulullah saw bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia?"
Fatimah menjawab: "Tidak wahai baginda."
Lalu Rasulullah saw menjelaskan: "Wahai Fatimah, dia adalah pengusir
kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.
Kemudian Rasulullah saw bersabda: "Masuklah, wahai Malaikat Maut."
Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan: "Assalamualaika ya Rasulullah."
Rasulullah saw pun menjawab: "Waalaikassalam ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?"
Malaikat Maut menjawab: "Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut
nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan. Jika tidak, saya akan
pulang."
Rasulullah saw bertanya: "Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?"
Jawab Malaikat Maut: "Saya tinggal dia di langit dunia."
Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril a.s. datang lalu duduk di samping Rasulullah saw.
Maka bersabdalah Rasulullah saw: "Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?"
Jibril menjawab: "Ya, wahai kekasih Allah."
KETIKA SAKARATUL MAUT:
Seterusnya Rasulullah saw bersabda: "Beritahu kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya?"
Jibril pun menjawab: "Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka,
sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu."
Baginda saw bersabda: "Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku?"
Jibril menjawab lagi: "Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan
bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan
buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu."
Baginda saw bersabda lagi: "Segala puji dan syukur untuk Tuhanku.
Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang disediakan Allah untukku?"
Jibril menjawab: "Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah
yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat
nanti."
Kemudian Rasulullah saw bersabda: "Segala puji dan
syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi
tentang khabar yang menggembirakan aku."
Jibril a.s. bertanya: "Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?"
Rasulullah saw menjawab: "Tentang kegelisahanku. Apakah yang akan
diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang
akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan
sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke
Baitul Haram sesudahku?"
Jibril menjawab: "Saya membawa khabar
gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah
mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu
memasukinya terlebih dahulu."
Maka berkatalah Rasulullah saw: "Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku."
Lalu Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah saw.
Ali r.a. bertanya: "Wahai Rasulullah saw, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?"
Rasulullah menjawab: "Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai
Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa
hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga."
Kemudian Malaikat
Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah saw. Ketika roh baginda sampai
di pusat perut, baginda berkata: "Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut."
Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril a.s. memalingkan mukanya.
Lalu Rasulullah saw bertanya: "Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku?"
Jibril menjawab: "Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat
muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?"
Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah saw.
KESEDIHAN SAHABAT
Berkata Anas r.a.: "Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah r.a.,
aku terdengar dia sedang menangis sambil mengatakan: Wahai orang-orang
yang tidak pernah memakai sutera, wahai orang-orang yang keluar dari
dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum, wahai
orang-orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana, wahai
orang-orang yang jarang tidur diwaktu malam kerana takut Neraka Sa'ir."
Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Muaz
bin Jabal r.a. telah berkata: "Rasulullah saw telah mengutusku ke Negeri
Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di
sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh
seseorang. Kemudian orang itu berkata kepadaku: Apakah anda masih lena
tidur juga wahai Muaz, padahal Rasulullah saw telah berada di dalam
tanah?"
Muaz terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu dia
mengucapkan: "A'uzubillahi minasy syaitannir rajim." Lalu setelah itu
dia mengerjakan solat. Pada malam seterusnya, dia bermimpi seperti mimpi
malam yang pertama.
Muaz berkata: "Kalau seperti ini, bukanlah
dari syaitan." Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar
sebahagian penduduk Yaman. Pada keesokan harinya, orang ramai berkumpul
lalu Muaz berkata kepada mereka: "Malam tadi dan malam sebelumnya saya
bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah saw bermimpi
yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah
Mushaf kepadaku." Setelah Muaz menerima Mushaf, lalu dibukanya. Maka
nampaklah firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu akan mati dan
sesungguhnya mereka akan mati pula." (Surah Az-Zumar: ayat 30)
Maka menjeritlah Muaz, sehingga dia tidak sedarkan diri. Setelah dia
sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi dan dia nampak firman Allah yang
berbunyi: "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah
berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau
dibunuh kamu akan berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang
berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada
orang-orang yang bersyukur?" (Surah Al-lmran: ayat 144) Maka Muaz pun
menjerit lagi: "Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad."
Kemudian
dia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika dia akan
meninggalkan penduduk Yaman, dia berkata: "Seandainya apa yang ku lihat
ini benar, maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan
orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak
ada pengembala."
Kemudian dia berkata: "Aduhai, sedihnya
berpisah dengan Nabi Muhammad saw." Lalu dia pun pergi meninggalkan
mereka. Di saat dia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan
dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari
tengah-tengah lembah yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud:
"Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati."
Lalu Muaz
mendekati sumber suara itu. Setelah berjumpa, Muaz bertanya kepada orang
tersebut: "Bagaimana khabar Rasulullah saw?" Orang tersebut menjawab:
"Wahai Muaz, sesungguhnya Muhammad saw telah meninggal dunia." Mendengar
ucapan itu, Muaz terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu
menyedarkannya. Dia memanggil Muaz: "Wahai Muaz, sedarlah dan
bangunlah."
Setelah Muaz sedar kembali, orang tersebut lalu
menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar
As-siddiq, dengan cop dari Rasulullah saw. Tatkala Muaz melihatnya, dia
lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya. Kemudian dia
menangis dengan tersedu-sedu. Setelah puas dia menangis, dia pun
melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah. Muaz sampai di Kota
Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang
mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan: "Asyhadu Allaa Ilaaha
Illallah?" Muaz menyambungnya: "Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah."
Kemudian dia menangis dan akhirnya dia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.
Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy r.a.
lalu dia berkata kepada Bilal: "Wahai Bilal, sebutkanlah nama Muhammad
dengan suara yang kuat dekatnya. Dia adalah Muaz yang sedang pengsan."
Setelah Bilal selesai azan, dia mendekati Muaz, lalu dia berkata:
"Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Muaz, aku telah mendengar dari
Rasulullah saw, baginda bersabda: Sampaikanlah salamku kepada Muaz."
Maka Muaz pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara
keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa dia telah menghembuskan
nafas yang terakhir. Kemudian dia berkata: "Demi ayah dan ibuku,
siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan
meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke
rumah isteri baginda Siti Aisyah r.a." S
etelah sampai di depan
pintu rumah Siti Aisyah, Muaz mengucapkan: "Assalamualaikum ya ahlil
bait, wa rahmatullahi wa barakatuh." Yang keluar ketika itu adalah
Raihanah, dia berkata: "Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah."
Kemudian Muaz menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan:
"Assalamualaikum ya ahlil bait."
Siti Fatimah menyambut salam
tersebut, kemudian dia berkata: "Rasulullah saw bersabda: Orang yang
paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Muaz
bin Jabal. Dia adalah kekasih Rasulullah saw." Kemudian Fatimah berkata
lagi: "Masuklah wahai Muaz." Ketika Muaz melihat Siti Fatimah dan Aisyah
r.a., dia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Setelah dia sedar,
Fatimah lalu berkata kepadanya: "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda:
Sampaikanlah salam saya kepada Muaz dan khabarkan kepadanya bahawasanya
dia kelak dihari kiamat sebagai imam ulama." Kemudian Muaz bin Jabal
keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah saw.