Tuesday, June 12, 2012

Cinta, Oh, Cinta




Cinta itu fitrah. Sering kita ungkap, sering kita singkap betapa besar perasaan cinta. Cinta juga apabila ditanya maksudnya, akan timbul pelbagai definisi dari setiap orang yang membicarakannya. Ya, cinta itu sifatnya suci dan kalam. Namun, kita sebagai manusia yang mencacatkan cinta. Apabila ditanya, cinta apa yang utama, ramai atau mungkin semua akan katakan, 'cinta kepada Allah'.
Tepat sekali.
Namun, ramai yang tahu secara tepat, tapi tidak faham secara jelas. Cinta utama sudah pasti cinta kepada Allah. Mari kita muhasabah diri bersama-sama. Sebagai contoh, jika kita mendapat panggilan daripada kekasih daripada mendengar azan dari masjid, yang mana kita utamakan? Atau bila diajak untuk keluar bersama pasangan daripada menunaikan solat, mana yang kita dahulukan? Ataupun bila diajak membuat kebaikan daripada mencari habuan atau ganjaran dunia, yang mana kita lakukan? Tepuk dada, tanya iman.
Kita manusia mampu berkata-kata, mampu bersandiwara. Kita terbabas dari realiti dan lebih mengejar fantasi kehidupan berbanding mencari husnul khotimah. Ingatlah, diri kita (manusia) tanpa rahmat Allah ibarat tin kosong yang berkarat. Sungguh, lihatlah cinta itu pada mata hati bukan pada pancaindera dan rasa semata-mata kerana terdapat nikmat iman jika kita mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya. Teliti dan fahami maksud hadis berikut:
Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga hal yang barangsiapa mengamalkannya, maka dia dapat menemukan manisnya iman, iaitu orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi daripada yang lain; mencintai yang lain kerana Allah; tidak suka kembali pada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api neraka.' (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i, Ahmad)
Sabda Rasulullah SAW lagi: "Masih belum sempurna iman seseorang daripada kalian sebelum diriku lebih dicintai oleh daripada hartanya, anaknya, dan seluruh manusia." (Riwayat al-Nasa'i)

Jalan mencari cinta
Jalan cinta bukan mudah. Akal dan pemikiran muda mudi kini sering kali disesakkan dengan ideologi dan kata-kata indah tentang wujudnya 'cinta islamik' sebelum berkahwin. Sedarlah, tiada cinta sebelum nikah. Andai kata kita mengucapkan rasa cinta kepada seseorang yang tiada ikatan yang sah sudah pasti bakal mengundang zina hati atau fitnah tanpa disedari. Ungkapan 'aku mencintaimu kerana Allah' dijadikan satu alasan untuk meng'halal'kan cinta mereka semata-mata. Jadi, pilihan ada pada kita semua.
Mari kita selami hadis ini: "Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang syahid." (Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami dan lain-lain)
Amat besar nikmat cinta jika yang dicari demi mendapat keredhaan Ilahi. Inilah perjalanan kehidupan, cinta mencipta seribu satu persoalan. Cinta Ilahi adalah segalanya. Cinta kerana Allah akan sampai ke penghujungnya. Biar dirasai kepahitan dalam mencari cinta agar mendapat kemanisan hikmah di sebalik kisah cinta.


Aspek memilih cinta
Sebagai seorang Muslim, iman dan taqwa jadi pegangan. Al-Quran wajib dijadikan pedoman dan ditegakkan serta as-sunnah mesti dijadikan ikutan. Begitulah juga dalam aspek memilih cinta hati atau pasangan hidup kita. Agama perlu dijadikan panduan utama.
Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya: "Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya,maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, jagalah kesucian diri, simpanlah perasaan yang bersemi di hati, cinta Ilahi adalah cinta abadi. Islam, iman dan ihsan adalah aspek penting dalam memilih calon yang soleh dan solehah. Mohonlah doa dan keredhaan daripada Allah semoga dikurniakan seorang insan yang akan membuatkan kita bahagia di akhirat kelak nanti. Jadi, ingatlah, iman, ikhlas dan sabar adalah kunci kepada cinta yang suci.

Firman Allah SWT:

 "Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertakwa."
(Surah al-Furqan 25: Ayat 74)


No comments:

Post a Comment