Friday, August 10, 2012

Titian Kasih Seorang Nabi

Orang tertanya-tanya
Mengapa...?
Kenapa di saat kita bercerita tentang Rasulullah
Ada yang berduka
Ada yang menangis hiba?
Percayalah...
Yakinlah...
Air mata itu mengalir bukan kerana kesedihan
Tetapi kerana kerinduan
Tanyakan pada diri
Pernahkah aku merasa rindu?
Bisikkan dalam hati
Pernahkah teringin bertemu?
Hakikatnya...
Dunia hari ini
Lebih ramai menyebut dan mengingati
Tentang orang lain dan diri sendiri
Sering bercerita sana sini
Di mana Muhammad SAW di dalam kehidupan kita?
Aina huwa fi hayatuna?
Mana...?
Seringkah kisah baginda menjadi cerita utama
Di dalam perbualan kita?
Sentiasakah sunnah baginda
Menjadi amalan kita?
Muhammad itu juga manusia bergelar hamba
Luar biasa dan cukup sempurna
Tetap merasa sakit dan terluka
Pada dirinya Allah titipkan sayang dan cinta
Kepada seluruh alam semesta
Juga pada umat baginda
Walau umatnya sering lupa
Sedangkan zahirnya
Hari yang tidak ternama dulunya
Menjadi sebutan ribuan manusia
Bulan yang tidak dikenali sebelumnya
Menjadi terkenal di kalangan umatnya
Segala yang berkaitan dengan baginda menjadi mulia
Maka...
Tidakkah kita turut merasa mulia
Kerana dipilih untuk menjadi salah seorang dari umatnya
Hinggakan di saat hujung nyawa
Baginda masih ingat kepada kita
Allahu Allah...
Mulianya pekertimu ya Rasulullah SAW
Sahabat yang dirahmati Allah
Barakan rasa cinta
Hangatkan rasa sayang kepada Rasulullah SAW
Yang kelak akan menjadi pemberi syafaat kepada kita
Bacalah kisah hidup baginda
Ikutilah ajarannya
Contohilah sunnahnya
Jadilah umat yang dibangga
Jadilah umat yang apabila dipandang wajahnya
Baginda tersenyum bahagia
Moga menjadi umat yang dipimpin tangannya
Menuju ke syurga!

Merindui Ramadan


Duhai Ramadhan...
Kehadiranmu
Mengukir senyuman
Bersulam syahdu tawa
Mengiringi sayu hangatan air mata
Menghimpun panjat syukur buat yang Esa

Duhai Ramadan...
Kehadiranmu
bak Penantian sang kekasih pada arjunanya
Biarkan penantian ini umpama episod cinta
Episod cinta 10 malam terakhir
Menguntum nikmat Lailatul Qadar
Padanya turunnya Al-Quran
Ganjaran melebihi seribu bulan

Duhai Ramadan...
Biarlah kehadiranmu kali ini
Menjadi pertemuan istimewa antara kita berdua
Titian hari merobah paradigma iman jiwa
Melakar megah lembayung Taqwa
Peroleh rahmat beroleh bahagia
Ampunan dosa hitam nan kelam
Terlepas azab Jahannam menjulang

Duhai Ramadan...
Biarlah kehadiranmu kali ini
Melambai mesra syafaat bahagia
Melakar senyuman cinta ke syurga
menguntum kasih buat Allah yang Esa
Membawa lalu duka nan lara
Mengusir pergi tangis sengketa

Duhai Ramadan...
Andai pertemuan ini yang terakhir
Jadikanlah saat bersamamu disusuli
basahan zikrullah
beralun merdu lafaz al-kitab
beserta istiqomah tahajjud syukur
Jua tadahan doa pohon ampunan
Mengecap impian syurga idaman..