Wednesday, December 28, 2011

Takrif Gagal : Orang Hebat VS Orang Biasa


"Aduh, fail.." .. "Aaaah, rugi, rugi..".. "Gagal lagi.."



Itulah antara keluhan yang sering kita dengar apabila apabila kenyataan yang diharapkan bertukar menjadi malapetaka. Pastinya ketidaksampaian harapan atau ringkasnya gagal, baik dalam apa jua pekerjaan mahupun sebagai pelajar mencetuskan pelbagai perasaan.

Kecewa. Marah. Bengang. Sedih. Putus asa. Paling memeritkan apabila segala wang, kudrat, masa dilaburkan namun keputusannya bukan memihak kepada kita. Semuanya terasa segala pelaburan itu bagaikan sia-sia sahaja.

Namun, apa sebenarnya erti gagal?

Kenapa ada mereka yang mampu bangun dengan gemilangnya walaupun sebelumnya gagal?

Kenapa ramai lagi mereka yang gagal, langsung tidak terbangun selepas kejatuhan mereka?

Kedua-dua golongan ini gagal dan dilanda keperitan yang amat sangat, namun apakah yang membezakan dua golongan ini?

Tuah? Usaha? Kebetulan? Banyak faktor menyumbang kepada kebangkitan semula orang yang hebat daripada kegagalan.

Antara faktor yang terbesar bagi mereka ialah takrifan gagal. Mereka menjadi semakin hebat selepas setiap kegagalan kerana mereka memahami dan melihat makna gagal lebih hebat daripada orang biasa.

Orang biasa mentakrifkan kegagalan sebagai ketidaksampaian hasrat dan impian yang dicitakan.

Hurm, adakah benar?

Namun, pentakrifan gagal oleh orang hebat ternyata berlainan dan lebih hebat. Orang hebat melihat kegagalan sebagai maklum balas tentang perkara yang tidak akan membawa mereka ke arah kehebatan.

Renung sejenak kata-kata Thomas Edison yang gagal 1000 kali dalam mencipta mentol pertama di dunia.

"Saya bukannya gagal 1000 kali, tetapi saya menemui 1000 cara yang tidak akan menghasilkan mentol".

Keputusannya?

Terciptalah mentol lampu pertama di dunia. Jika tidak kerana semangat beliau, mungkin mentol belum tercipta, dan mungkin kita masih menggunakan lampu minyak tanah sehingga sekarang.

Setiap kali ditimpa kegagalan, orang hebat melihatnya sebagai jalan atau tindakan yang tidak akan membawanya mengecapi impiannya. Justeru, mereka tidak akan mengulangi perkara dan tindakan yang sama di masa hadapan. Yang betul diteruskan, yang salah dihindarkan.

Lantaran itu, mereka semakin bijak mengatur langkah mengorak jalan ke arah kejayaan dengan hanya melakukan perkara yang betul dan hebat sahaja. Itulah yang dimaksudkan dengan kegagalan sebagai maklum balas atau "feedback".

Melihat kegagalan daripada sudut pandang positif menjadi nadi utama kebangkitan orang hebat. Biarpun terkesan emosinya, kuasa positif nyata lebih dominan untuk melonjak kembali semangat mereka untuk terus berusaha menggapai impian mereka.

Berbanding orang biasa yang melihat kegagalan sebagai penamat kepada segala usaha mereka selama ini. Merasakan segalanya sudah musnah, mereka seakan takut untuk bangun kembali.

Orang hebat hanya melihat diri mereka sebagai gagal jika mereka memutuskan untuk tidak merealisasikan impian mereka. Apapun terjadi, segalanya dijadikan maklum balas positif, dan tiada apa yang dapat memutuskan mereka dengan impian mereka kecuali diri mereka sendiri dan takdir Allah S.W.T.

Kegagalan di tangan anda. Jika anda putuskan sebagai kegagalan, maka anda memang gagal. Namun, ingatlah, membina impian bukannya mudah.

Rasulullah S.A.W sekalipun memerlukan tempoh bertahun-tahun untuk membuka kembali Kota Mekah biarpun dilanda pelbagai ujian dan kekalahan. Usah pernah putus asa dengan diri sendiri dan rahmat Allah S.W.T. Selamat berjaya dan sukses selalu!

13 Tips Seronok Bersenam


Bosan dengan rutin senaman anda? Rasa terpaksa melakukannya? Kecewa dengan hasilnya? Di sini saya ingin kongsikan tips untuk membantu menjadikan masa bersenam dan melakukan workout di gim dengan lebih berkesan dan seronok.

1) Berhenti memberi alasan.

Perkara paling penting untuk menjadi sihat adalah berhenti memberi alasan. Secara tidak sedar, hidup kita sudah banyak dirosakkan dengan 1001 alasan untuk memulakan sesuatu yang sihat. Sebagai contoh jika anda ditanya, bila anda hendak memulakan rutin senaman, pasti terdengar jawapan seperti 'nantilah', 'esoklah', atau 'mula minggu depanlah'. Alasan sebegini seolah-olah menipu diri anda sendiri kerana anda tidak berasa bersalah terhadap diri sendiri disebabkan alasan tersebut.

Tetapi tahukah anda bahawa suatu hari nanti anda akan menyesal dengan alasan dan sikap bertangguh-tangguh anda itu? Oleh itu, berhenti memberi alasan, dan mulakan rutin sihat untuk kebaikan yang tidak ternilai di kemudian hari.

2) Fleksibel.

Anda tidak perlu melakukan semua jenis senaman dalam satu-satu masa untuk memperolehi hasil yang cepat. Sekiranya perlu, cuba bahagikannya kepada dua atau lebih banyak sesi untuk sepanjang hari. Dengan itu, ada akan mempunyai masa untuk merehatkan diri sendiri di samping melakukan aktiviti kecergasan.

3) Curi masa.

Jika anda tidak mempunyai masa yang banyak untuk melakukan senaman disebabkan tuntutan kerja harian, anda bolehlah mencuri masa 20 minit setiap hari untuk bersenam. Itu pun sudah boleh memberi perbezaan yang besar berbanding jika anda tidak melakukannya langsung. Something is always better than nothing!

4) Jadikan rutin.

Kesihatan yang baik adalah keperluan untuk hidup. Dengan memikirkan dan menetapkan bahawa bersenam adalah sesuatu rutin yang penting seperti rutin sihat yang lain, lama kelamaan secara automatik anda ingin melakukan senaman sama seperti rutin anda menggosok gigi. Sehari tak bersenam, gelisah satu badan!

5) Set gol anda.

Apabila anda mula bersenam, memotivasikan diri adalah kunci untuk anda terus bersemnagat melakukannya. Tulis gol atau target anda dan lekatkannya di tempat yang anda mudah lihat seperti cermin di bilik air.

Samada anda ingin mengurangkan kolesterol atau ingin muat dengan seluar jeans size 6 tanpa perlu menahan nafas, mengejar gol dan target anda itu akan membantu anda mencapai impian anda itu.

Anda juga boleh set mini gol atau mini target. Seperti mengurangkan 1.5kg berat badan dalam masa tiga hari melakukan senaman di gim. Apabila anda mencapai target anda itu walaupun dalam jumlah yang kecil, anda pasti tetap berpuas hati dan tidak sabar-sabar untuk meneruskan untuk sesi senaman pada keesokan harinya.

6) Konsisten.

Anda tahu kenapa hari terakhir anda lakukan senaman sudah pun berbulan-bulan yang lalu? Itu disebabkan anda tidak konsisten melakukan senaman dan kecergasan badan anda pun sudah keluar dari radar yang sepatutnya.

Untuk menjadi konsisten, anda perlu mencipta jadual senaman anda untuk sekurang-kurang tiga hari dalam seminggu. Dengan cara itu, anda boleh check samada anda patuh atau tidak dengan jadual yang anda sendiri cipta itu. Jika anda patuh dengan jadual anda, anda sendiri akan berpuas hati dan sekiranya tidak, anda tahu yang anda hanya menipu diri anda sendiri.

Anda juga boleh memvariasikan aktiviti dalam jadual anda itu untuk mengelakkan rasa bosan. Contohnya Isnin minggu ini anda buat aktiviti kardio, Isnin minggu depan anda boleh cuba lakukan yoga pula! Mencuba sesuatu yang baru juga boleh menaikkan semangat anda untuk bersenam!

7) Gabungkan aktiviti.

Sesekali mesti anda berasa bosan berlari di atas treadmill. Kalau dah bosan, anda akan mudah berhenti melakukannya. Anda boleh cuba berlari atau berjalan di atas treadmill sambil menonton televisyen ke, berborak di telefon dengan pasangan anda, mendengar lagu kegemaran, atau membaca majalah kesukaan anda!

8) Mulakan dengan perlahan.

Jika anda memulakan rutin senaman dengan terlalu cepat, anda akan mudah hilang semangat dan bosan untuk terus bersenam. Cuba memulakan aktiviti ini secara perlahan-lahan dan terus develop senaman anda dan menambah level dalam senaman anda. Anda akan terasa challenged dengan senaman anda itu dan itu yang akan terus memotivasikan diri anda untuk terus bersenam dan cuba membuat peningkatan dari satu level ke level yang lain.

9) Buat nota.

Tulis senaman harian yang anda lakukan – berapa km anda berlari atau berjalan, berapa kg dumbbell yang anda angkat. Anda akan dapat melihat perkembangan senaman anda sebelum anda nampak hasilnya. Sekiranya anda tidak nampak hasil, anda tahu apa yang anda perlu buat untuk menambah aktiviti senaman anda. Selain itu, anda akan dapat tahu apakah aktiviti yang paling berkesan mengikut keperluan badan anda sendiri!

10) Jangan obses.

Penting bagi setiap orang untuk komited terhadap rutin senaman mereka. Tapi jika anda pergi ke gim untuk berjam-jam setiap hari, dikhuatiri anda mungkin overtraining.

Jika anda bersenam, otot anda mungkin akan terkoyak sedikit. Otot anda akan membina tisu-tisu baru untuk menggantikan otot yang terkoyak. Tetapi itu akan sukar berlaku sekiranya otot anda tidak mempunyai masa yang cukup membinanya kerana anda telah melakukan aktiviti yang lain pula.

Jadi caranya? Berhenti rehat seketika sebelum anda memulakan semula sesi senaman yang anda lakukan. Beri masa kepada otot anda untuk membina semula otot baru. Dengan cara ini, anda boleh bersenam setiap hari dan dalam masa yang sama memberi rehat yang cukup kepada badan anda.

11) Beri hadiah kepada diri sendiri.

Raikan kejayaan anda dengan sesuatu yang sihat! Sebagai contoh, beli sebuah elliptical baru daripada anda membeli sebuah tv baru! :D

12) Cari seorang kawan.

Bersenam bersendirian memang akan menjadi bosan.Cuba cari seorang kawan yang akan menjadi teman anda bersenam dan membuat anda komited dengan aktiviti kecergasan yang anda lakukan. Anda juga boleh membincangkan perkembangan dan hasil yang anda perolehi sepanjang anda melakukan senaman. Selain itu, anda juga boleh membincangkan apa yang menghalang anda dari menjadi sihat bersama rakan anda. Anda juga boleh merancang aktiviti yang pelbagai bersama rakan anda itu.

13) Have fun!

Tak kira berapa banyak pun strategi yang anda cuba atur, ianya tak akan terhasil jika anda sendiri tidak gembira melakukannya. Mungkin kalau anda bosan melakukan aktiviti senaman yang sama, cuba bersukan pula. Anda juga boleh mencuba cara baru seperti menari, yoga, kickboxing dan pilates!

Bukan Hanya Lafaz Bicara


Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat. (Hamka)
Sememangnya cinta itu sering kali dikaitkan dengan keindahan, dan sering sahaja mengundang senyuman.  Ada yang sanggup memperjuangkan cinta sehingga sanggup pula melepaskan yang dimiliki demi mengejar cinta.  Lihat sahaja paparan di media pada hari ini,  tataplah berita di kaca televisyen dan internet,  bacalah berita di akhbar dan majalah.  
Apa yang sering dikaitkan dengan keruntuhan nilai akhlak remaja?  Sudah pastilah kerana cinta yang diagung-agungkan sehingga sanggup pula lari dari rumah meninggalkan ibu bapa yang telah banyak berkorban.  Hanya kerana cinta,  manusia sering saja menghalalkan yang sudah termaktub haramnya.  Bukankah sejak di awal usia,  kita sering kali diberitahu bahawa penzinaan dan menghampiri zina itu tetap HARAM hukumnya?
Barang siapa yang cintakan sesuatu,  maka dia akan menjadi hamba kepada yang dicintainya. Barang siapa yang mencintai sesuatu,  maka dia banyak menyebutnya, mengingatinya,  dan memikirkannya (Ibnu Ata'illah – Kitab Al-Hikam )
Bukan salah cinta itu hadir dalam diri setiap manusia.  Tetapi salah manusia yang tidak pandai, tidak cekap menguruskan perasaan cinta yang hadir.  Benarkah cinta yang dirasakan jika kita sanggup mengetepikan cinta kita kepada Allah,  cinta kita kepada Rasul,  cinta kita kepada Islam, dan cinta kita kepada ibu bapa?  
Bukankah cinta itu jauh lebih mulia daripada cinta yang kita sanggup agung-agungkan.  Percayalah, setiap rasa cinta yang hadir sehingga kita mengetepikan soal halal dan haram itu tidak lebih sekadar cinta yang berajakan NAFSU.  Ya Allah,  jauhkanlah kami daripada mengulit mimpi indah dalam cinta yang semakin hari semakin menjauhkan kami daripadaMu.Tuntunlah hati ini untuk mengenali cintaMu,  mendahulukan cintaMu,  dan tidak menduakan cintaMu.
Mana mungkin rasa cinta ini,
ku curahkan untuk lelaki yang telah lupa,
Lupa pada cintanya pada pemilik cinta,
Mana mungkin rasa  cinta ini,
ku serahkan kepada lelaki yang kedekut,
Kedekut untuk mengucapkan ayat-ayat cintanya pada pemilik cinta,
Mana mungkin cinta ini,
ku amanahkan buat seorang lelaki yang culas,
Culas dalam melaksanakan amanah pemilik cinta,
Mana mungkin ku merasa bahagia,
Jika aku menjulang-julang peminjam cinta,
Tapi mengetepikan pemilik cinta.
Berkali kita diingatkan. Lahir sahaja di dunia, menjengah alam telah pun diazan dan diiqamahkan. Cinta kepada Allah,  adalah cinta yang agung dan suci.  Cinta yang sebenar-benarnya menuntut kesabaran,  ujian iman,  dan ketaqwaan.  Cintailah Allah,  dan Allah akan memelihara cinta yang tersulam indah sesama manusia.
Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil." (Sahih Bukhari)

Bibit Pertama Seruan Azan


Setiap hari kita mendengar lima kali seruan azan daripada masjid tetapi adakah kita mengetahui tentang sejarahnya. Tahukah kamu dari mana asalnya perkataan yang diucapkan semasa azan dilaungkan?

Jika tidak, sama-samalah kita baca dan hayati sejarah seruan azan.

Azan mula disyariatkan di Madinah tahun pertama hijrah. Asal-usul azan terkandung dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Umar r.a. dengan katanya yang bermaksud:

"Semasa sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkirakan waktu solat dan tidak ada seorang pun yang menyeru untuk solat. Pada suatu hari mereka berbincang tentang hal itu. Berkata sebahagian daripada sahabat: 'Ambillah naqush (loceng) seperti naqush orang Nasrani (Kristian).' Berkata sebahagian yang lain pula: '(ambillah) trompet seperti trompet orang Yahudi."

Lalu berkata Umar:

"Tidakkah kamu boleh melantik seorang lelaki untuk menyeru kepada sembahyang?"

Bersabda Rasulullah S.A.W:

"Wahai Bilal, berdirilah dan serulah untuk solat."

Hasil perbincangan tersebut terdapat beberapa cadangan seperti membunyikan loceng seperti yang dilakukan oleh orang Nasrani, meniup trompet seperti penganut agama Yahudi, mengibarkan bendera sebagai tanda masuk waktu solat atau menyalakan api diatas bukit di mana orang yang melihat api akan hadir ke masjid untuk solat berjemaah.

Namun semua usul itu ditolak oleh Rasulullah S.A.W. Kemudian Umar al-Khattab mencadangkan supaya diteriakkan kuat-kuat.

"Telah datang waktu solat."

Cadangan Umar ini diterima oleh Baginda S.A.W tetapi dengan sedikit modifikasi kepada "Assolatu jami'ah" yang bermaksud "Marilah solat berjemaah."

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abdullah bin Zaid r.a, beliau bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki.

Abdullah: "Wahai hamba Allah S.W.T, adakah kamu jual naqush itu?"

Pembawa loceng: "Apa yang engkau buat dengannya?"

Abdullah: "Dengan naqush itu, kami menyeru kepada solat."

Pembawa loceng: "Mahukah kamu aku tunjukkan yang lebih baik daripada itu?"

Abdullah: "Ya."

Pembawa loceng: "Kumandangkanlah Allahuakbar...(hingga akhir azan)."

Keesokannya, Abdullah bin Zaid menceritakan kepada Rasulullah S.A.W mengenai mimpinya. Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya mimpi itu benar insya-Allah. Berdirilah engkau bersama Bilal dan ajarkan kepadanya apa yang engkau mimpikan itu. Hendaklah Bilal azan dengan apa yang diajarkan kepadanya kerana suaranya lebih bagus dan tinggi daripada engkau."

Kemudian Abdullah bin Zaid berdiri bersama Bilal lalu mengajarkannya lafaz azan tersebut.

Ketika Bilal hendak melaungkan azan, Umar bin al-Khattab berkata:

"Demi yang telah mengutusmu dengan benar wahai Rasulullah S.A.W, sesungguhnya aku bermimpi seperti mana yang dimimpikan olehnya (Abdullah bin Zaid)."

Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Segala puji bagi Allah S.W.T."

Walaupun azan disyariatkan hasil mimpi Abdullah bin Zaid yang kebetulan sama dengan mimpi Umar al-Khattab, azan bukanlah ciptaan atau cadangan manusia. Sebaliknya ia diperkuatkan lagi dengan wahyu.

Al-Bazzar berkata:

"Nabi Muhammad S.A.W telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya diatas langit yang ketujuh ketika berlakunya Israk Mikraj. Kemudian malaikat Jibril mendatanginya, lalu Baginda S.A.W menjadi Imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s, Allah S.W.T menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi."

Akhir kalam, semoga dengan pembacaan sejarah azan ini dapat menyedarkan kita betapa tingginya darjat azan kerana di akhir zaman ini rata-rata umat Islam lansung tidak menghormati seruan azan ini malah menganggap azan itu sebagai bunyi cengkerik di tengah malam.

Tidak malukah kita sebagai hamba Allah S.W.T dapat menghormati lagu Negaraku dengan berdiri sebagai menghormatinya tetapi seruan azan langsung tidak dijawab dan dipedulikan walaupun seruan itu dikumandangkan di langit ketujuh.

Sandiwara Dunia Blogging

Blogger AIsh, tak boleh jadi ni, semakin hari semakin ramai follower dia. Blog aku pun Islamik jugak, tapi kenapa blog dia lebih dapat sambutan? Menyampah aku. Dah lah ramai orang komen blog dia, menyampahnya! Sakit hati aku! Macamlah dia bagus sangat! Aku kena buat sesuatu.
Blogger BAlhamdulillah, semakin ramai yang follow, harap yang follow tu dapat manfaat. Eh, ada komen baru. Ha, apa orang ni tulis ni. Astaghfirullahal 'azim. Ya Allah, ampunkanlah dosanya. Luputkanlah hasad dengki manusia terhadap aku. Amin.
"Salam. Wei, penulis blog, kau ingat blog kau bagus sangat ke ramai follower, ramai orang komen. Blog je Islamik padahal orang bukan Islamik sangat pun. Ikhlas sikit kalau menulis tu. Hipokrit punya orang! Blah la, menyampah aku dengan kau ni."
***
SISI PUTIH: Hey you!
SISI HITAM: What?
SISI PUTIH: What are you doing?
SISI HITAM: What? Who are you?
SISI PUTIHYela, tukar, tukar. Cakap BM pula. Ha? Siapa saya? Saya adalah awak, awak adalah saya.
SISI HITAMEh, apa pula dia adalah kau, dia adalah aku. Eh, budak, nama kau sape dah, tak ingat pula aku.
(Putih + hitam = kelabu = neutral )
SISI KELABUMy name is Ali.
SISI HITAMCeh, speaking, padahal nama tak komersial langsung.
SISI PUTIHApa kena dengan awak ni, nama Ali tu punya maksud yang baik. Yang tinggi. Biar semakin tinggi keimanan, semakin tinggi kesolehan. Sahabat Nabi S.A.W pun ada nama Ali.
SISI HITAM: Ahh! Ni apesal cakap pasal nama pula. Eh, Whitey, apehal kau jerit-jerit dekat budak ni tadi?
SISI PUTIHNi ha Blackie, tengok apa dia komen dekat blog orang. Tak puas hati dengan blog orang yang punya follower ramai, komen banyak. Saya nak cegah perkara buruk. Ni boleh merenggangkan ukhuwah.
SISI HITAMHahahaha. Memanglah, dia buat macam tu sebab ikut cakap aku. Bagus anak didik aku ni. Pergi blah la kau. Dia milik aku. Hahahaha.
SISI PUTIHMemang hitam la awak ni, ambik ha, straight to the point. Kalau jahat tu, memang jahat la juga, lagi straight to the point. Aww, tak baik tahu. Saya nak selamatkan dia daripada awak. Ali, awak ok? Are you ready, bebeh?
SISI KELABU ALI: What the...huh?
SISI HITAMKau nak buat apa?
SISI PUTIH: Awak shut up, Blackie. Ok my baby, you're ready. Let's get into our lesson, hayya nabda'!
***
Kenapa Perlu Dengki?
Wahai Ali...
Kenapa perlu dengki? Kenapa perlu dengki dengan blog orang lain? Awak dengki dengan blog orang lain yang ada follower ramai? Awak dengki tengok blog dia ramai yang komen? Dan tidak seperti pengomen blog awak? Awak dengki tengok blog dia lebih Islamik berbanding blog awak? Awak dengki tengok dia pandai menulis tetapi awak tidak? Awak dengki.
SISI KELABU ALI: Dah..sudah! *menangis*
Awak jangan tipu diri awak. Awak sudah tahu agama, tetapi kenapa buat begitu. Blog dia bagus, dia berdakwah melalui blog.
Kenapa awak perlu dengki?
Blog awak pun bertemakan dakwah juga, jadi kenapa awak perlu dengki? Melainkan...
SISI KELABU ALI: Melainkan apa?
Melainkan awak menulis bukan kerana Allah S.W.T.
***
Untuk apakah penulisanmu?
Wahai Ali...
Untuk apakah penulisanmu?
Awak masuk dunia blogging ini untuk apa? Untuk tunjuk awak ada banyak ilmu ke, selepas itu apabila orang lain lebih banyak ilmu daripada awak, awak tidak puas hati?
Awak jadi blogger kerana hendak tunjuk blog awak ramai pengunjung, ramai yang komen dan puji setiap post awak, ramai yang singgah, selepas itu apabila tengok blog lain lagi maju daripada awak, awak tidak puas hati?
Awak menulis itu kerana hendak tunjuk awak seorang alim, baik dan selepas tengok blog orang lain lebih alim, lebih baik daripada awak, awak tidak puas hati?
What's wrong with you?
Untuk apakah penulisanmu?
Jika itu tujuan awak, saya nasihatkan awak berhenti daripada menulis. Buang masa awak sahaja. Awak pun tahu kan, sesungguhnya setiap amalan itu disertakan dengan niat. Awak menulis untuk berdakwah. Kononnya, betul ke?
Lagi sekali, awak jangan tipu diri awak. Jika niat awak tidak betul, berhentilah. Sia-sia sahaja. Penat sahaja awak dapat.
Wahai Ali...
Seharusnya awak rasa berbangga ada blog lain yang sama tujuan dengan awak. Niat murni hendak membangunkan Islam. Niat murni menulis untuk mengetuk jiwa-jiwa yang adakala lalai dan lupa. Yang menulis kerana inginkan keredaan Dia.
Jika awak masih tidak dapat buang hasad dengki awak itu, dan hasad dengki awak itu tidak dapat menjadikan awak lebih baik, saya betul nasihatkan awak. Berhenti sahajalah. Lebih baik awak buat sesuatu yang lain.
SISI KELABU ALI: *terasa* *hatinya menangis* *pedih*
***
Menulislah Hanya Kerana Dia.
Wahai Ali...
Saya cakap ini kerana saya sayangkan awak. Cuba awak lihat semula hati awak. Pernah awak tanya diri awak?
Awak menulis untuk apa?
Untuk dapat follower ramai?
Untuk dapat komen terbanyak?
Atau memang untuk mereka mendapat manfaat?
Pernah awak tanya diri awak semua itu?
Lagi, awak menulis untuk siapa?
Awak selalu kata kerana Allah S.W.T. Mulut dan tulisan awak kata untuk dakwah, hati awak bagaimana? Pernah awak tanya?
Jika betul kerana Allah S.W.T, kenapa perlu awak dengki? Awak renung kembali, untuk apa penulisan awak?
Apabila Allah S.W.T tanya, awak hendak jawab apa? Hanya setakat basa-basi di dunia, atau awak sedar bahawa inilah pelaburan jangka panjang awak?
Wahai Ali...
Perbetulkan niat awak. Muhasabah diri awak kembali. Menulislah kerana Allah S.W.T. Apabila benar hati awak berkata menulis kerana Allah S.W.T, tidak akan pernah terdetik rasa dengki di hati awak.
Riak dengan tulisan awak pun tidak. Jika awak menulis kerana Allah S.W.T, apabila post awak dipuji, kembalikan pujian tu kepada-Nya kerana Dia yang bagi ilham kepada awak. Kalau Dia tidak beri idea dan buah fikiran, awak tidak boleh tulis walau satu patah perkataan pun.
Jika benar awak menulis kerana Allah S.W.T, awak sokonglah blog lain yang juga mengajak untuk semakin mendekati Allah S.W.T dan tautkan ukhuwah dengan blogger lain kerana Allah S.W.T.
Jika benar awak menulis kerana Allah S.W.T, awak pasti akan tumpang gembira apabila melihat blog Islamik lain dapat sambutan.
Jika benar awak menulis kerana Allah S.W.T, walaupun blog awak tidak ramai follower dan tidak ramai yang komen, awak akan tetap rasa bahagia. Bahagia kerana dapat menyumbangkan sesuatu untuk Islam. Sekurang-kurangnya awak berusaha.
Jika benar awak menulis kerana Allah S.W.T, walaupun blog awak sedikit pengunjung, awak tetap tidak akan putus asa, kerana awak benar-benar ikhlas menulis, awak benar-benar menulis setiap patah perkataan untuk mengingatkan manusia dan diri sendiri.
***
Ketuk Hati Tanya Iman.
Wahai Ali...
Menulislah dengan penuh rasa ketaqwaan, tawaduk dan rendah diri. Suatu masa nanti, apabila awak akan kembali kepada-Nya, awak akan ditanya, untuk apakah tangan awak itu?
Menulis setiap entri blog dengan niat kerana Allah S.W.T atau pun niat kerana perkara yang lain?
Suatu saat nanti, awak akan ditanya, untuk apa penulisan awak. Untuk apa masa yang awak pertaruhkan saat duduk di hadapan laptop dan melarikan tangan di atas keyboard?
Wahai Ali...
Awak cukup bertuah. Punya peluang berdakwah melalui warkah bisu. Warkah bisu inilah pelaburan jangka panjang awak dan semakin bertambah nilainya andai dilakukan atas niat yang benar dan hati yang penuh ikhlas.
Awak cukup bertuah. Tidak ramai yang menggunakan teknologi kini betul-betul untuk perkara Akhirat, dan kini awak yang punya kesedaran, kenapa dipesongkan niat asal awak?
***
Wahai Ali...
Selagi hayat masih ada, pergunakanlah peluang awak sebaiknya. Menulislah kerana Dia. Sokonglah blog Islamik yang lain kerana Dia. Awak punya masa untuk berubah. Berubahlah. Ubah niat awak. Ubah hati awak ke arah yang lebih baik. Ke arah jalan yang betul.
Menjadi seorang penulis itu bukan hanya tahu memberikan pandangan dan pendapat sahaja sedangkan pada hakikatnya hati sendiri tidak terpandu kepada tuntutan Iman.
Menjadi seorang penulis itu bukan hanya pada tulisan yang jelas menunjukkan cahaya sedangkan hati sendiri gelap gelita. Tetapi biarlah menjadi seorang penulis, yang semakin menulis semakin dirasakan sedikit ilmunya hingga menuntut untuk terus mencari ilmu dan meningkatkan amalan.
Biarlah menjadi seorang penulis yang semakin membicarakan persoalan Iman, semakin hatinya lembut dan jiwanya tunduk. Hanya mengharapkan rahmat dan keredaan Allah S.W.T agar apa yang ditulis benar hanyalah semata-mata kerana Dia dalam wasilah penyebaran dakwah dan apa yang ditulis inilah yang akan menolongnya di Akhirat sana.
Wahai Ali...
Carilah Akhirat dalam dunia.
***
"Blogger B, maafkan saya, tak sepatutnya saya cakap macam tu dekat awak. Penulisan awak bagus, teruskan ye! Ma'annajah!"
SISI KELABU ALI: *senyap* *benar-benar menangis* *hatinya pedih* *benar insaf*
SISI PUTIHAli? Awak dengar tak apa yang saya cakap?
SISI KELABU ALI: *diam*
SISI PUTIHAli? Baby?
SISI KELABU ALI: Huwaaaaa!!!!
SISI HITAM: Eh, ni kenapa ni, kacau aku tidur je. Kenapa pula budak Ali ni nangis? Eh, Whitey kau buat apa dengan budak ni.
SISI PUTIH*senyum* awak tanyalah dia.
SISI KELABU ALI: Ali dah insaf. Sob, sob *mengesat air mata*
SISI HITAM: Insaf apa pulak ni. Hati aku rasa tak sedap dah ni.
SISI KELABU ALI: Ali tak nak dengar cakap Blackie. Ali nak dengar cakap Whitey.
SISI PUTIHHehe. Awak dengar tu Blackie, Ali dah jadi anak murid saya. Tu baru kena basuh sikit tu.
SISI HITAMWei, kau buat apa. Ali, ikut Blackie la.
SISI KELABU ALI: Tak nak jugak, huh! *paling muka arah lain*
SISI HITAM: Ali, ikutlah Blackie, Whitey salah, dia hasut Ali tu.
SISI KELABU ALIAli kata tak nak! Tak nak jugak!
SISI HITAMOk, fine! Menyampah. Asyik aku je kalah. Ni yang aku angin ni. Fed up aku kalau hari-hari macam ni. *beredar*
SISI PUTIHGood kid.
***
Sisi hitam tidak akan pernah henti memujuk rayu dan menghasut mengganggu sisi putih yang suci bersih. Jangan biarkan diri dalam kekeliruan tujuan dan matlamat. Perbetulkan niat.
Wahai penulis, menulislah bersama hati sisi putih. Gapai keredhaan-Nya dengan setiap patah perkataan warkah bisu yang ditaip. Carilah Akhirat dalam dunia, dirimu pasti beruntung.
Buat hanya kerana Dia. Sematkan dalam hatimu. Hanya kerana Dia. Hanya kerana Dia. Hanya kerana Dia. Cari redha Dia dengan ilmu, idea dan ilham yang juga milik Dia. Kelak pasti dirimu bahagia.