Thursday, May 26, 2011

Ibu Bukan Insan Biasa!

Mudah lupa. Itu fitrah manusia. Kalau dahulu, tanpa ibu mendodoikan kita, susahnya mata hendak lena. Jika lama emak tidak masak, badan pun boleh jadi kurus sebab rindu dendam dengan masakan emak. Dan kalau boleh, hari-hari kita hendak beritahu – saya sayang emak!
Hari ini apabila tiba Hari Ibu, ada yang cepat-cepat telefon emak. Tidak kurang juga yang sudah awal-awal menyiapkan hadiah istimewa untuknya. Bagi si anak, itulah tanda penghargaan dan kasih buat insan bergelar ibu. Namun, kalau difikir-fikirkan, sudah cukupkah hadiah dan ingatan itu untuk membalas curahan kasih dan ambil beratnya selama ini?
Dan bagi segelintir orang pula, apalah sangat dengan sambutan Hari Ibu. Tidak ingat pun tiada salahnya. Ia cuma sekadar hari. Jika tidak ada orang yang membudayakannya, sudah tentu tidak wujud Hari Ibu.
Benar! Tapi itu bagi yang selalu meletakkan ibu di hati, acap kali telefon dan bertanya khabar, ambil berat tentang makan, minum serta sakitnya. Jadi, kalau dia tidak ambil pusing tentang Hari Ibu pun tidak mengapa sebab baginya setiap hari adalah 'hari ibu' untuk ibunya. Dan bagi yang yang jarang-jarang mengingati ibu, setidak-tidaknya sambutan Hari Ibu setiap tahun boleh berfungsi sebagai 'suis lampu' kepada ruang ingatan kasih dan pengorbanan ibu yang dibiarkan lama bergelap.
Lagi pun Rasulullah SAW sendiri pernah tiga kali menekankan akan keutamaan seorang anak terhadap ibu menerusi sepotong hadis. Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW dan bertanya, "Wahai Rasulullah! Siapakah yang paling berhak saya pergauli dengan baik?" Jawab baginda: "Ibumu!" Tanya orang itu: "Sesudah itu siapa?" Jawab baginda, "Ibumu!" Tanyanya lagi: "Kemudian itu siapa lagi?" Jawab baginda: "Ibumu!" Tanyanya lagi: "Siapa lagi?" Jawab baginda: "Kemudian bapamu." (Sahih Bukhari)
Peringatan dari-Nya
Berdasarkan pesanan Rasulullah itu jelaslah sudah bahawa bagi seorang anak, ibu bukan orang biasa yang boleh dilupa, apalagi ditinggal-tinggalkan. Taraf ibu tinggi. Kerana itulah syurga seseorang khususnya anak lelaki dikatakan terletak di telapak kaki seorang ibu. Seandainya dia menderhakai ibu, mampukah dia menjejakkan kaki ke pintu syurga, apatah lagi untuk mencium haruman syurga Allah?
Daripada Anas Malik r.a. katanya: Rasulullah SAW pernah menyebut dosa-dosa besar, atau pernah ditanya orang tentang hal itu. Baginda berkata: "Mempersekutukan Allah, membunuh manusia, durhaka kepada dua orang tua." Setelah itu baginda berkata: "Akan saya beritahukah kepadamu dosa besar yang paling besar?" Baginda melanjutkan: "Perkataan bohong!" Atau beliau berkata: "Kesaksian yang dusta." (Sahih Bukhari).


glitter-graphics.com

No comments:

Post a Comment